DUNIA

KAD HAJI NUSUK ATASI MASALAH JEMAAH ‘HILANG’, MUDAHKAN AKSES KE MASYAIR

13/06/2024 06:49 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi (MOHU) mengesahkan inovasi Kad Nusuk yang dilancarkan pada musim haji tahun ini membawa perubahan signifikan dalam usaha menyantuni jemaah yang datang dari seluruh dunia apabila tahap keselamatan jemaah haji dapat ditingkatkan, sekali gus mengatasi masalah jemaah ‘hilang’ atau tersesat.

Kementerian menerusi klip video pelbagai bahasa sempena kempen ‘No Hajj Without a Permit’ atau tidak boleh menunaikan haji tanpa permit yang dimuat naik ke platform X pada Khamis berkata kad berkenaan turut memudahkan akses jemaah ke Masyair (kawasan suci).

“Melalui kad haji (nusuk), tiada lagi rasa takut tersesat atau tidak jumpa tempat penginapan atau khemah. Sesiapa saja boleh memberikan bantuan dengan yakin. Hanya imbas kod QR sahaja”, katanya menerusi klip berkenaan.

Kementerian menjelaskan bahawa Kad Nusuk mengandungi ciri keselamatan unik yang menyimpan maklumat jemaah dan sijil penyempurnaan ibadah haji adalah satu-satunya bukti rasmi yang diluluskan bagi jemaah haji biasa di kawasan Masyair.

Ia membolehkan pihak berkuasa haji, pekerja haji dan agensi penguatkuasa lain mengenal pasti identiti jemaah dengan pantas selain menghalang individu tidak berkenaan memasuki semua kawasan suci sempena musim haji.

Kementerian turut mengingatkan agar jemaah haji yang kehilangan kad berkenaan supaya segera meminta kad gantian bagi memastikan mereka dapat menyelesaikan ibadah dengan tenang dan mendapat manfaat daripada perkhidmatan kesihatan dan logistik serta penginapan di Mekah sepanjang musim haji.

Jemaah yang kehilangan kad hanya perlu menyerahkan salinan digital kad melalui aplikasi “Nusuk” selain memaklumkan kepada ketua kumpulan untuk proses pengeluaran kad baharu.

“Kad tersebut hendaklah disimpan sepanjang perjalanan haji”, menurut kementerian.

Sementara itu, pihak berkuasa Arab Saudi telah meningkatkan kesiapsiagaan dan keselamatan di Mina sebagai persiapan menerima kebanjiran jemaah esok, Jumaat, untuk menghabiskan Hari Tarwiyah (8 Zulhijjah), sebelum menuju Arafah pada 9 Zulhijjah.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan