DUNIA

PENSYARAH UTM TERIMA ANUGERAH 'THE ORDER OF THE RISING SUN'

13/06/2024 05:58 PM

Oleh Noor Bakhtiar Ahmad

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Prof Madya Kumaraguru Ramayah dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah dianugerah 'The Order of the Rising Sun, Gold Rays with Rosette', pingat kebesaran daripada Kerajaan Jepun.

The Order of the Rising Sun, yang ditubuhkan pada tahun 1875, merupakan sistem anugerah tertua di Jepun.

Pelbagai kelas penghormatan dalam 'The Order of the Rising Sun' dianugerahkan kepada individu, baik warga Jepun mahupun bukan warga Jepun, sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang mereka.

Anugerah itu disampaikan oleh Duta Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko dalam satu majlis di kediaman rasminya di sini pada Khamis.

Kumaraguru, seorang Prof Madya di Akademi Bahasa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTM, diberi penghormatan atas sumbangan besar beliau.

Dalam ucapannya, Takahashi menekankan peranan penting Kumaraguru sensei dalam mempromosikan pendidikan bahasa Jepun di Malaysia dan memupuk persefahaman antara kedua-dua negara.

Istilah "Sensei" dalam bahasa Jepun digunakan sebagai gelaran kehormatan untuk pakar dalam bidang masing-masing.

“Kumaraguru sensei menjadi salah seorang pengajar bahasa Jepun yang paling terkenal di Malaysia.

“Kumaraguru sensei telah terlibat dalam pelbagai aktiviti untuk mempromosikan pendidikan bahasa Jepun di Malaysia dan persefahaman antara kedua-dua negara kita,” katanya.

Takahashi juga menyatakan peranan penting Kumaraguru dalam menubuhkan kursus bahasa Jepun di UTM, menjadikannya pusat pendidikan bahasa Jepun di selatan Malaysia.

“Walaupun majoriti pelajar UTM berkaitan dengan kejuruteraan, beliau berjaya memperkenalkan bahasa Jepun sebagai subjek elektif percuma dengan membangunkan sukatan pelajaran dan kaedah pengajaran sendiri,” kata Takahashi.

Mengungkapkan rasa terima kasihnya dalam satu wawancara dengan Bernama, Kumaraguru menyifatkan penghormatan itu sebagai pengiktirafan mendalam terhadap dedikasi dan semangatnya untuk mempromosikan pendidikan bahasa Jepun.

“Ia adalah satu penghormatan yang amat besar. Saya berasa seperti di puncak dunia.

“Menerima penghormatan ini daripada Maharaja Jepun adalah pengiktirafan tertinggi. Ia bukan sahaja untuk saya; ia juga untuk institusi saya, UTM, dan juga untuk negara saya, Malaysia. Saya percaya ia adalah pengiktirafan penting terhadap pendidikan bahasa Jepun di Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.

Kumaraguru pada mulanya berkhidmat sebagai guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah rendah di Malaysia sebelum membuat sumbangan besar dalam mempromosikan pendidikan bahasa Jepun dan memupuk persefahaman antara Malaysia dan Jepun.

Pemangkin kerjaya Kumaraguru sebagai guru bahasa Jepun adalah pemilihannya untuk mendapatkan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di bawah Dasar Pandang Ke Timur (LEP) Malaysia. 

Beliau menjadi rakyat Malaysia keturunan India pertama yang menerima biasiswa itu untuk program guru bahasa Jepun.

Selepas menamatkan pengajiannya di Universiti Tsukuba sebagai sarjana LEP, Kumaraguru kembali ke Jepun dan memperoleh ijazah sarjana dalam Linguistik Perbandingan di bawah biasiswa Kerajaan Jepun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan