AM

IBU BAPA KANAK-KANAK ISTIMEWA DIMINTA TAMPIL, JANGAN MALU BERTEMU JKM JIKA BERMASALAH

13/06/2024 04:42 PM

BATU PAHAT, 13 Jun (Bernama) -- Ibu Bapa kepada kanak-kanak istimewa yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) diminta tampil dan jangan malu untuk bertemu serta berkongsi masalah yang dihadapi dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata pihaknya mengharapkan ibu bapa yang mempunyai kanak-kanak istimewa ini, terutamanya autisme, tidak bersendirian sekiranya mempunyai masalah.

Beliau berkata masalah yang dihadapi perlu segera dikongsikan dengan memaklumkan kepada pihak JKM, dan badan kebajikan ini mempunyai kaunselor khusus untuk membantu agar masalah yang terbeban dapat diringankan.

“Sekiranya mereka ini dari segi kewangan mengalami kekurangan, insya-Allah JKM akan meneliti dan kemudian bantuan yang bersesuaian dengan semua permasalahan penjagaan anak-anak autisme dibantu...kita tidak mahu wujud penderaan kepada mereka berpunca daripada tekanan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak, Didik Kanak-Kanak, Dapatkan Bantuan Segera Sekiranya Memerlukan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Onn di sini hari ini.

Berkenaan program advokasi yang diadakan, Noraini berkata ia bertujuan menangani isu-isu yang berkaitan dengan keselamatan kanak-kanak khususnya berkaitan penderaan dan pengabaian yang semakin meningkat.

Beliau berkata pada tahun 2022, 6,770 kes kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan direkodkan, manakala pada tahun 2023 pula 7,532 kes direkodkan.

“Bagi tahun ini (2024) sehingga bulan Mac, 2,277 kes telah dilaporkan dan kita bimbang kes semakin meningkat serta dalam masa yang sama dapat liputan luas oleh media sosial terutamanya. Sbab itulah kita adakan program advokasi ini di sekolah-sekolah dengan sasaran 300 sekolah akan kita laksanakannya sehingga hujung tahun ini,” katanya.

Noraini berkata antara pengisian program berkenaan adalah tindakan atau kaedah yang boleh dilakukan sekiranya berlaku kes yang membabitkan kanak-kanak memerlukan perlindungan dan pemeliharaan.

Selain melibatkan Kementarian Pembagunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, program advokasi itu turut disertai Kementerian Pendidikan, polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan