AM

KONSESI PENGERUKAN, PENAMBAKAN INTEGRATED MARINE WORKS DITAMATKAN - MENTERI PENGANGKUTAN

13/06/2024 03:10 PM

PUTRAJAYA, 13 Jun (Bernama) -- Konsesi pengerukan (pengorekan) dan penambakan Integrated Marine Works Sdn Bhd (IMW) ditamatkan kerana melakukan pelanggaran syarat-syarat perjanjian, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Bercakap pada sidang media hari ini, beliau berkata penamatan perjanjian konsesi antara kerajaan, pihak berkuasa pelabuhan di seluruh negara dan syarikat IMW yang dimeterai pada 30 Mei 2022 telah dipersetujui Jemaah Menteri pada 29 Mei lepas.

Loke berkata Kementerian Pengangkutan (MOT) telah mengeluarkan notis kemungkiran bertarikh 29 Januari lepas kepada syarikat dengan tempoh remedi (tempoh memulihkan kemungkiran syarat) selama tiga bulan sehingga 29 April 2024 namun IMW gagal untuk meremedikan pelanggaran terma perjanjian tersebut.

Antara pelanggaran terma perjanjian adalah IMW menukar pemegang saham tanpa kebenaran kerajaan kerana semasa perjanjian ditandatangani, syarikat IMW dimiliki sepenuhnya oleh Inai Kiara Sdn Bhd.

“Bagaimanapun, sekitar bulan Julai 2023, MOT telah mendapat makluman bahawa syarikat Inai Kiara telah pun digulung (wind up) melalui Perintah Gulung oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam bertarikh 11 April 2023.

“Siasatan lanjut MOT mendapati bahawa pemegang saham syarikat IMW telah ditukar daripada Inai Kiara kepada Inai Warisan tanpa kebenaran kerajaan.

“Ini bermakna syarikat IMW telah melanggar salah satu terma perjanjian di mana berdasarkan perjanjian, pihak syarikat tidak boleh menukar pemegang saham tanpa kebenaran kerajaan,” katanya.

Selain itu, Loke berkata syarikat IMW juga didapati gagal membuat pembayaran caj konsesi bagi tahun 2023 seperti mana yang termaktub dalam perjanjian konsesi.

“Akhirnya, notis penamatan telah dikeluarkan kepada pihak IMW pada 11 Jun 2024.

“Kementerian Pengangkutan tidak akan melantik syarikat konsesi baharu susulan penamatan ini,” katanya.

Beliau berkata dasar yang baharu akan digubal untuk menggalakkan pertumbuhan industri pengerukan dan penambakan dalam kalangan syarikat-syarikat tempatan lebih berdaya saing demi pembangunan pelabuhan-pelabuhan di seluruh negara.

“Perlu ditegaskan kebanyakan projek-projek pengerukan dan penambakan di pelabuhan-pelabuhan Persekutuan adalah dibiayai oleh operator-operator pelabuhan masing-masing,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan