AM

RASUAH DALAM JABATAN: SPRM AKAN BINCANG DGN KSN, KPPA MEKANISME PELAPORAN

13/06/2024 02:15 PM

PUTRAJAYA, 13 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) akan mengadakan perbincangan dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali berkenaan mekanisme pelaporan isu bekaitan rasuah dan salah guna kuasa oleh ketua jabatan dan ketua unit dalam perkhidmatan awam.

Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Azam Baki berkata mekanisme pelaporan itu perlu diperhalusi kerana ia melibatkan banyak peringkat dalam sesuatu jabatan.

“Bila bercakap tentang pelaporan ini, bukan saja ketua jabatan tetapi melibatkan juga penyelia. Penyelia ada banyak peringkat, contohnya seorang pegawai daripada kumpulan sokongan, dia ada penyelianya.. jadi mekanisme ni perlu ada dari segi pelaporannya kepada pihak atasan atau SPRM,” katanya kepada media ketika ditemui selepas majlis pelancaran buku ‘The Sin of Corruption: A Religious Perspective’ di sini hari ini.

Beliau berkata di bawah Seksyen 25 Akta SPRM adalah menjadi kewajipan untuk melaporkan perbuatan rasuah kepada pihaknya, malah perbuatan tidak melaporkan sebarang rasuah yang ditawarkan kepada anda sendiri, atau mana-mana pegawai awam juga adalah kesalahan, dan ia boleh menjadi kesalahan jenayah.

“..sehingga boleh menyebabkan boleh dibuang kerja sekiranya didapati bersalah. Itu undang-undang, tetapi dalam rancangan kami sekarang ini, kita perlu berbincang dulu dengan JPA dan KSN (mekanisme pelaporan),” katanya.

Isnin lepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa berucap pada Majlis Perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri berkata tiada kenaikan pangkat bagi ketua jabatan jika wujud salah laku penjawat awam di bawahnya seliannya yang tidak dilaporkan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata beliau mahu satu ketetapan mengenai aspek kenaikan pangkat itu dibuat pada minggu hadapan dengan kaedahnya dijangka diumumkan oleh Mohd Zuki dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Sementara itu Azam berkata pihaknya menyambut baik saranan Anwar yang mahukan supaya ketua-ketua jabatan yang tidak melaporkan rasuah atau salah laku yang berlaku di bawah seliaannya, dikenakan tindakan.

“Ini adalah akauntabiliti kepada semua ketua-ketua jabatan dan juga pihak atasan kerana perkara tentang melaporkan perbuatan rasuah pegawai-pegawai di bawah kakitangan ini memang kena tempatnya untuk mereka supervise dan laporkan kepada peringkat atas dan juga SPRM, kerana jika ia tidak diambil berat perkara ini ia akan menyebabkan keruntuhan dalam perkhidmatan awam.

“Jadi untuk SPRM setakat ini kita menyambut baik saranan ini dan kita akan berbincang dahulu dengan pihak perkhidmatan awam dan KSN untuk lihat mengenai kaedah atau mekanisme pelaporan ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan