EKONOMI

MOT DIMINTA PERTIMBANG SEMULA TEMPOH PROSES 72 JAM BAGI LESEN PERKAPALAN DALAM NEGERI

13/06/2024 02:28 PM

Oleh Sevagamy Nythiananthan

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Sebuah syarikat maritim menggesa Kementerian Pengangkutan (MOT) supaya mempertimbangkan semula tempoh pemprosesan 72 jam bagi Lesen Perkapalan Dalam Negeri (DSL), yang berkuat kuasa 1 Jun.

Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd Datuk Seri Jeyenderan Ramasamy berkata tempoh pemprosesan tiga hari yang dilaksanakan MOT itu menyebabkan kelewatan dan kerugian kewangan yang ketara bagi penyewa Malaysia akibat demuraj.

“Ini kerana MOT tidak beroperasi pada hujung minggu, memburukkan lagi masalah ini. Sebulan, kami mempunyai kira-kira 100 hingga 150 permohonan dan industri boleh kerugian kira-kira US$10,000 hingga US$30,000 bagi setiap kapal ekoran demuraj,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Jeyenderan yang berpengalaman selama 23 tahun dalam industri maritim berkata lazimnya Jabatan Laut Malaysia -- pihak berkuasa tertinggi bagi bahagian laut -- boleh mengesahkan dokumen dalam tempoh 15 hingga 20 minit, biasanya kurang daripada satu jam.

“Atas kecekapan ini, adalah membingungkan apabila MOT tidak dapat mempercepatkan proses permohonan DSL kepada 24 jam. Sistem yang ada sekarang bukan sahaja tidak cekap malah menjejaskan dari segi ekonomi terutama untuk kargo semasa yang selalunya memerlukan pemprosesan pantas,” katanya.

Beliau menegaskan kelewatan pemprosesan DSL secara tidak langsung memberi kesan kepada semua warganegara Malaysia, justeru menggesa MOT bekerjasama dengan Jabatan Laut Malaysia untuk mempercepatkan proses itu.

Beliau mengulas mengenai pengumuman Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook pada 1 Mac lepas bahawa permohonan lesen akan diproses dalam tempoh tiga hari.

Loke berkata semua kapal tempatan dan asing yang menjalankan perkhidmatan kargo di perairan Malaysia perlu memohon DSL atas faktor keselamatan negara.

Semakan di laman web MOT mendapati semua kapal yang terlibat dalam perkhidmatan perkapalan domestik perlu mempunyai DSL.

Walau bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada kapal Malaysia dengan berat bersih di bawah 15 tan, dilesenkan mengikut Seksyen 475 Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 (lesen bot) dan MSO 1960 (Sabah) dan (Sarawak), dan pemilikan atau pajakan kerajaan pusat, kerajaan negeri atau pihak berkuasa pelabuhan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan