EKONOMI

PEMBANGUNAN BERSKALA BESAR, PENINGKATAN PELABURAN ASING DI JOHOR TUMPUAN R2G WILAYAH SELATAN

13/06/2024 01:13 PM

ISKANDAR PUTERI, 13 Jun (Bernama) -- Pembangunan berskala besar dan peningkatan pelaburan asing di Johor menjadi tumpuan Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) dalam menganjurkan Road2Growth (R2G) bagi Wilayah Selatan tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Mohammad Hazani Hassan berkata kedudukan Johor yang semakin meningkat sebagai sebuah negeri dengan ekonomi yang kukuh menjadi antara sebab mendorong pihaknya untuk memperkenalkan penyelesaian inovatif dan teknologi dalam Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan pendigitalan kepada peserta di R2G Wilayah Selatan.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pertumbuhan di Johor adalah luar biasa dengan pembangunan berskala besar dan peningkatan dalam pelaburan asing menjadikan Johor tempat untuk mereka.

“Kami di MTDC amat menggalakkan usahawan khususnya dari Johor untuk merebut peluang unik ini bagi mengembangkan lagi perniagaan anda,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan R2G Wilayah Selatan di sini hari ini.

Beliau berkata IR 4.0 telah membawa kemajuan teknologi yang besar, mengubah dan mempelbagaikan gaya hidup manusia, bekerja dan berinteraksi.

“Di sinilah program R2G MTDC akan menangani segala kemungkinan dan perniagaan yang berpotensi semasa sesi perkongsian dan aktiviti rangkaian yang dijalankan oleh rakan kongsi dan pasukan kami,” katanya.

Beliau berkata dalam program R2G di Johor, peserta boleh memilih mana-mana daripada tujuh platform, khususnya mengenai Pembiayaan Komersial, Pembiayaan Pembangunan, Perkongsian Ekosistem, Rundingan Perniagaan dan Teknologi, Latihan dan Pembangunan Bakat serta Inovasi Perniagaan.

Beliau berkata dalam platform Pembiayaan Komersial dan Pembiayaan Pembangunan, peserta akan dilibatkan dengan pakar-pakar dana dan penasihat, yang membantu mengenal pasti peluang dan sumber yang diperlukan bagi membawa kejayaan kepada usaha niaga peserta.

“Para penceramah pula terdiri daripada Bursa Malaysia Bhd, Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF), Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI),” katanya.

Mohammad Hazani berkata dalam platform Perkongsian Ekosistem, para peserta boleh meneroka bagaimana IR 4.0 digunakan dalam merentasi pelbagai sektor industri.

“Syarikat ekosistem MTDC akan mempamerkan inovasi dan teknologi tempatan mereka, yang boleh disesuaikan untuk melaksanakan perniagaan dengan lebih cekap, semasa sesi perkongsian berlangsung.

"Para peserta juga boleh mempelajari tentang pusat teknologi MTDC, yang menawarkan ruang kerja kolaboratif serba boleh yang disediakan untuk syarikat teknologi, sesuai bagi inovasi dan pertumbuhan," katanya.

Beliau berkata penceramah untuk platform itu termasuk wakil daripada syarikat IR 4.0 seperti perunding kecerdasan buatan (AI) generatif Neuramerge Resources PLT, syarikat analisis data Foresight Analytics, pakar pemetaan geospatial MySpatial Sdn Bhd, dan pakar data Integrasi Erat Sdn Bhd.

Bagi platform Rundingan Perniagaan dan Teknologi, beliau berkata peserta dapat memanfaatkan nasihat perniagaan, kewangan dan pemasaran untuk meningkatkan perniagaan mereka.

“Demonstrasi dan pembentangan idea turut dianjurkan oleh Perbadanan Usahawan Johor Sdn Bhd (PUJB). Wakil Malayan Banking Bhd juga menjadi penceramah jemputan dalam platform ini,” katanya.

Beliau berkata dalam platform Latihan dan Pembangunan Bakat, para peserta boleh mempelajari tentang Strategi dan Teknik Pekerjaan serta kerjaya yang ada dalam IR 4.0.

Dalam platform Inovasi Perniagaan, beliau berkata peserta boleh mempelajari program dan alat penilaian untuk menilai kesediaan inovasi dalam kalangan peserta dan menyokong usaha pengkomersialan mereka.

“Secara keseluruhannya, R2G MTDC bertujuan untuk menawarkan pandangan yang berharga dan menyediakan sokongan serta sumber yang betul kepada teknousahawan Malaysia untuk bersaing di peringkat global agar mereka boleh menyumbang dengan ketara kepada kemajuan teknologi dan pertumbuhan ekonomi negara,” tambahnya.

R2G MTDC merupakan platform untuk menyebarkan maklumat dan mempamerkan rangkaian perkhidmatan MTDC termasuk Pembiayaan Komersial dan Pembangunan, Perkongsian Ekosistem, Rundingan Perniagaan dan Teknologi, Latihan dan Pembangunan Bakat, Inovasi Perniagaan dan Pusat Teknologi MTDC.

Acara R2G yang seterusnya akan diadakan di Pulau Pinang pada 23 Julai, 2024, Kota Kinabalu (6 Ogos), Kuching (8 Ogos) dan Kuala Lumpur (9 Sept).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan