JENAYAH & MAHKAMAH

KRONOLOGI KES ZAYN RAYYAN

13/06/2024 12:32 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini menjadi tumpuan ramai yang ingin mengikuti kes kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang ditemukan mati di Damansara Damai, Selangor Disember tahun lepas.

Berikut merupakan kronologi peristiwa menyayat hati yang menimpa kanak-kanak malang berkenaan:

 

5 Dis 2023 - Zayn Rayyan dilaporkan hilang selepas bermain di taman permainan di rumahnya.

Keluarganya memuat naik status kehilangan Zayn Rayyan di media sosial sebelum melaporkan kehilangan itu kepada polis. Kanak-kanak itu dilapor dilihat kali terakhir memasuki belukar bersebelahan blok kediamannya.

6 Dis 2023 - Polis Daerah Petaling Jaya dan persatuan penduduk kediaman berkenaan melakukan operasi pencarian dari rumah ke rumah serta mengawal laluan keluar masuk di blok kediaman bermula 8 malam. 

Jasad Zayn Rayyan ditemui di aliran anak sungai kira-kira 200 meter dari kediamannya kira-kira pukul 10 malam. Polis berkata lokasi penemuan mayat itu merupakan kawasan pencarian yang sudah dilakukan Unit Anjing Pengesan (K9) hari sebelumnya.

7 Dis 2023 - Polis mengklasifikasikan kematian Zayn Rayyan sebagai kes bunuh selepas proses bedah siasat dilakukan di Hospital Sungai Buloh. Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata hasil bedah siasat mendapati terdapat kecederaan di leher dan badan kanak-kanak itu.

8 Dis 2023 - Polis melakukan tapisan individu yang mempunyai jenayah lampau di sekitar daerah berkenaan. Polis sahkan tiada kesan kecederaan lama menjurus penderaan dikesan pada jasad kanak-kanak berkenaan.

10 Dis 2023 - Seramai 228 individu diambil ujian DNA bagi membantu siasatan yang melibatkan pemeriksaan 2,484 unit rumah dan premis perniagaan.

13 Dis 2023 - Polis menemui sehelai stokin dalam takungan air di anak sungai berhampiran lokasi mayat Zayn Rayyan dijumpai selepas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Pengaliran dan Saliran Selangor menyedut keluar air di aliran anak sungai berkenan.

14 Dis 2023 - Stoking yang dijumpai dalam air bertakung sekitar anak sungai berhampiran lokasi disahkan bukan kepunyaan Zayn Rayyan.

23 Dis 2023 - Polis meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) dalam pencarian bukti kes Zayn Rayyan.

6 Feb 2024 - Timbalan Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Selangor Datuk Seri A. Thaiveegan menawarkan ganjaran RM20,000 kepada individu yang membantu penahanan suspek.

23 Feb 2024 - Dilaporkan tiada pihak yang tampil memberi maklumat berhubung kes Zayn Rayyan walaupun ganjaran RM20,000 ditawarkan kepada individu yang membantu penahanan suspek.

8 Mei 2024 - Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain menegaskan pihaknya masih mengharapkan petunjuk baharu.

31 Mei 2024 - Ibu bapa Zayn Rayyan ditahan di sekitar Puncak Alam oleh Polis Selangor bagi membantu siasatan polis.

1 Jun 2024 - Mahkamah Sesyen Petaling Jaya membenarkan reman pasangan berusia 29 tahun itu selama tujuh hari mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

7 Jun 2024 - Mahkamah Sesyen Petaling Jaya membenarkan tempoh reman pasangan suami isteri berusia 29 tahun dilanjutkan selama enam hari lagi sehingga 13 Jun.

10 Jun 2024 - Polis membawa ibu Zayn Rayyan ke Apartment Idaman Damasara Damai untuk melakonkan semula situasi kejadian semasa kehilangan Zayn Rayyan sehingga kepada penemuan mayatnya.

12 Jun 2024 - Ibu Rayyan dibawa ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya bagi mendapatkan pengakuan salah wanita itu berhubung siasatan kes. Polis kemudiannya menahan datuk dan nenek Zayn Rayyan bagi membantu siasatan pada pukul 2.30 petang.

13 Jun 2024 - Ibu dan bapa Zayn Rayyan didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak berkenaan dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya, Disember tahun lepas.

Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kedua-duanya berumur 29 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh. Kedua-dua mereka minta dibicarakan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan