AM

KERAJAAN TIDAK CAMPUR TANGAN KREATIVITI KARYA SENI - PM ANWAR

13/06/2024 11:07 AM

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Kerajaan tegas dengan pendirian tidak campur tangan dalam soal kreativiti dan percambahan idea serta nilai dalam karya seni tempatan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kerajaan juga kekal mendukung prinsip kebebasan berekspresi menerusi karya anak-anak seni yang mesti disemarakkan. 

Beliau yang berpeluang menonton filem Sheriff Narko Integriti semalam, juga melahirkan rasa kagum dengan mutu filem dan tema yang diketengahkan Syafiq Yusof selaku pengarah filem itu. 

"Saya terkesan tatkala filem ini menjadikan isu integriti, rasuah dan salah guna kuasa sebagai tema utama. 

"Saya sambut baik usaha murni pihak pembikin filem ini yang menyambut ketegasan kerajaan dalam mendepani masalah rasuah dan kelemahan tatakelola," katanya menerusi hantaran di akaun Facebook hari ini. 

Anwar berkata mutu perfileman yang begitu membanggakan itu juga menyakinkan beliau bahawa industri perfileman tempatan berkeupayaan untuk bersaing, termasuk di peringkat antarabangsa. 

Menerusi hantaran sama Perdana Menteri juga mengucapkan tahniah kepada seluruh pasukan yang terlibat dalam pembikinan filem Sheriff Narko Integriti.

Semalam Anwar dan isteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berpeluang menonton filem Sheriff Narko Integriti menerusi progam anjuran Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) di Putrajaya.

Turut hadir ialah Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, selain barisan pelakon seperti Zul Ariffin, Azira Shafinaz, Aaron Aziz serta Elizabeth Tan dan penganalisis jenayah Kamal Affandi Hashim.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan