DUNIA

RINGGIT DIBUKA 130 MATA ASAS LEBIH TINGGI BERBANDING DOLAR AS

13/06/2024 10:33 AM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, didorong kemunculan semula minat belian apabila Rizab Persekutuan AS (Fed) mengekalkan kadar faedah tidak berubah sekali gus menandakan penurunan kadar dijangka berlaku tahun ini.

Pada 9.05 pagi, ringgit meningkat kepada 4.7030/7070 berbanding dolar AS daripada 4.7160/7185 ketika ditutup pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) berlegar di bawah 105 mata malam tadi, menunjukkan kelemahan dolar memandangkan pasaran percaya lebih banyak langkah pelonggaran dasar monetari akan dilakukan oleh Fed.

Beliau berkata walau bagaimanapun, keputusan dan panduan Fed terkini menunjukkan bank pusat AS itu mungkin mengurangkan kadar faedah sekali sahaja, berbeza dengan jangkaan pada Mac iaitu sebanyak tiga kali.

Namun, pasaran dilihat meningkatkan jangkaan mereka kepada dua kali pengurangan kadar faedah iaitu pada September dan Disember tahun ini.

“Justeru, ringgit mungkin meraih manfaat daripada perkara ini dengan USD/MYR menghampiri paras RM4.7000 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan rendah berbanding yen Jepun kepada 2.9999/3.0027 daripada penutupan dagangan Rabu pada 2.9977/9995 dan susut berbanding euro kepada 5.0863/0906 daripada 5.0711/0738.

Ringgit turun berbanding pound British kepada 6.0189/0240 daripada 6.0157/0189 semalam.

Unit domestik diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara Asean.

Ringgit meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 288.5/289.0 daripada 289.3/289.7 pada penutup Rabu dan tinggi berbanding peso Filipina kepada 8.03/8.05 daripada 8.04/8.05.

Walau bagaimanapun, ringgit turun berbanding dolar Singapura kepada 3.4889/4921 daripada 3.4879/4900 semalam dan rendah berbanding baht Thailand kepada 12.8719/8881 daripada 12.8529/8643.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan