EKONOMI

MELABUR DALAM INFRASTRUKTUR IT UNTUK SUMBANG KEPADA MATLAMAT KELESTARIAN

12/06/2024 11:45 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Organisasi yang berminat dalam mendukung Matlamat Pembangunan Lestari selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) disaran supaya memulakan usaha kelestarian mereka dengan melabur terhadap alat pemantauan infrastruktur teknologi maklumat (IT).

Presiden ManageEngine Rajesh Ganesan berkata alat berkenaan mampu memantau penggunaan tenaga dengan berkesan di dalam bangunan, peranti dan infrastruktur awan.

Beliau berkata ia akan membantu mereka memahami jumlah tenaga yang digunakan dan dikeluarkan, yang membantu dalam merancang dan mengesahkan perubahan yang diperlukan antaranya penyumberan luar, membudayakan Amalan Hijau dan mengurangkan penggunaan tenaga secara keseluruhan.

“Organisasi boleh membudayakan Amalam Hijau seperti melabur dalam tenaga boleh diperbaharui dan solar, di samping memastikan bahawa mereka mematuhi peraturan tempatan dan meningkatkan bertanggungjawab terhadap bidang peralihan tenaga dan pembangunan lestari. Rangka kerja tadbir urus yang cekap kemudian mampu membimbing organisasi dalam menerap kelestarian dalam operasi teras mereka.

“Pemimpin perniagaan juga perlu melakukan anjakan paradigma berkaitan bagaimana kelestarian akan memberikan kesan terhadap keuntungan dan daya saing mereka dalam jangka masa panjang, selain daripada menumpukan terhadap pelaburan jangka pendek dalam kos dan sumber. Organisasi perlu segera melakukan pelaburan hijau untuk alam sekitar lebih bersih pada masa hadapan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Rajesh berkata dalam konteks Malaysia, pengiktirafan terhadap betapa inisiatif hijau penting bagi pertumbuhan negara boleh dilihat menerusi kelulusan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) terhadap 4,073 projek hijau bernilai lebih RM38.9 bilion setakat September 2023 dan dijangkakan meningkat pada tahun ini.

Beliau berkata komitmen teguh kerajaan Malaysia, dengan sokongan daripada sektor swasta dalam bidang tenaga, pertanian, pengangkutan dan pembuatan, akan membolehkan negara mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersihnya menjelang 2050.

“Perniagaan tempatan perlu memberi tumpuan terhadap penyepaduan amalan lestari dan mengimbangi kemajuan teknologi dengan tanggungjawab alam sekitar.

"Dengan mengakui bahawa mengurangkan jejak karbon adalah satu daripada pemangkin untuk mengubah ekonomi ke arah lebih mampan, Malaysia berada di landasan yang tepat ke arah kejayaan dan mencapai masa depan yang lebih hijau,” katanya.

Berkaitan cara untuk organisasi membina masa hadapan lebih hijau seperti menumpukan terhadap kecekapan operasi dan pertumbuhan hijau, Rajesh menyarankan supaya kaji selidik dilakukan untuk mengenal pasti amalan lestari, menggunakan aplikasi cekap tenaga dan membuat pelaburan terhadap perisian dan peralatan mesra alam.

"Selain itu, terokai alternatif tenaga boleh diperbaharui. Sesetengah syarikat secara strategik beroperasi berdekatan dengan loji tenaga boleh diperbaharui manakala yang lain memasang solar di premis masing-masing,” katanya.

Beliau turut mencadangkan organisasi untuk menguruskan pusat data dengan cekap bagi mengurangkan penstoran dan penggunaan tenaga dengan menggunakan perisian pengurusan pusat data untuk menganalisis prestasi serta mengenal pasti kesesakan untuk penggunaan yang optimum. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan