AM

WONG SHU QI DILANTIK PENGERUSI TALENTCORP YANG BAHARU

12/06/2024 10:26 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) yang baharu, berkuat kuasa hari ini.

TalentCorp dalam kenyataan memaklumkan Wong, yang juga ahli lembaga pengarah Research for Social Advancement (REFSA), merupakan lulusan ijazah berganda dalam Kewartawanan dan Sains Politik dari Universiti Chengchi Nasional di Taiwan serta memiliki ijazah Sarjana dalam Pengurusan Awam dari Universiti Nasional Singapura.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah Mohd Khuzzan Abu Bakar yang pernah berkhidmat dengan Bank Mualamat selama lebih 14 tahun dilantik sebagai Timbalan Pengerusi yang baharu.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim dalam kenyataan itu mengalu-alukan pelantikan tersebut. 

“Barisan ahli lembaga pengarah yang baharu dilantik ini akan membawa perspektif baharu dan strategi yang inovatif untuk membangunkan ekosistem bakat Malaysia melalui inisiatif-inisiatif TalentCorp.

“Pelantikan ini mencerminkan kepentingan berterusan TalentCorp sebagai badan pemikir strategik Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), yang berdedikasi untuk menarik, memupuk dan mengekalkan bakat Malaysia untuk terus maju dalam landskap yang berkembang pesat kerana tuntutan masa depan kerja dan peningkatan globalisasi,” katanya.

 Turut dilantik beberapa ahli lembaga TalentCorp yang baharu termasuk bekas ADUN Kok Lanas Datuk Seri Md Alwi Che Ahmad, Ketua Setiausaha KESUMA Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, Timbalan Ketua Setiausaha (Makro) Kementerian Ekonomi Datuk Luqman Ahmad dan Timbalan Setiausaha Bahagian (Antarabangsa), Kementerian Kewangan, Dr Emelia Fantoza Saraih.

-- BERNAMA 



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan