EKONOMI

REKA BENTUK LESTARI PERLU JADI AGENDA UTAMA INDUSTRI PEMBUATAN - TENGKU ZAFRUL

12/06/2024 10:10 PM

PUTRAJAYA, 12 Jun (Bernama) -- Pendekatan reka bentuk lestari yang menekankan penggunaan bahan kitar semula dan teknologi mesra alam perlu menjadi agenda utama industri pembuatan negara agar kesan negatif terhadap alam sekitar dapat dikurangkan dan memastikan sumber daya alam dapat dipelihara untuk generasi akan datang.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri  (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata fokus utama Kerajaan Madani bagi 2024 adalah merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara dengan memberi keutamaan mendorong pelabur dalam dan luar negara untuk melabur di Malaysia. 

“Sehubungan itu, pelbagai usaha dipergiat untuk memperkukuh infrastruktur pelaburan agar Malaysia menjadi destinasi pelaburan global yang terkemuka,” katanya berucap pada majlis Malaysia Good Design Award 2023/2024 di sini hari ini.

Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pelaburan) MITI Datuk Bahria Mohd Tamil.

Tengku Zafrul berkata Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) adalah antara inisiatif kerajaan untuk membuka peluang perniagaan baharu berorientasikan kelestarian. 

Inisiatif ini memfokuskan kepada penggunaan tenaga yang mampan dan efisien serta pengurangan jejak karbon yang sangat penting dalam memerangi perubahan iklim dan mempromosikan pembangunan berterusan, katanya.

Menurut Tengku Zafrul, kerajaan amat menggalakkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) kepada semua industri pembuatan di Malaysia untuk memberi kelebihan kompetitif yang signifikan, membuka peluang ekonomi baharu dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

“Kerajaan percaya negara yang menguasai teknologi ini akan memimpin inovasi global dan menetapkan standard baharu dalam pembangunan teknologi.

“Dalam sektor reka bentuk, aplikasi AI telah mentransformasikan cara pereka bentuk bekerja. Ia kini digunakan untuk mengautomasi tugas-tugas reka bentuk yang berulang atau menghasilkan inovasi visual yang kompleks,” katanya.

Beliau berkata teknologi ini membolehkan pereka bentuk mengkaji pelbagai pilihan reka bentuk dengan lebih cekap, melakukan simulasi penggunaan dan menyediakan solusi yang dipersonalisasi untuk memenuhi keperluan pelanggan secara lebih tepat, menjimatkan masa dan meningkatkan produktiviti.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan