EKONOMI

Caam Lanjut Tempoh Penggantungan Sijil Pengendali Udara Sas Sehingga 31 Julai

12/06/2024 09:24 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) melanjutkan tempoh penggantungan sementara Sijil Perakuan Pengendali Udara (AOC) bagi Systematic Aviation Services Sdn Bhd (SAS) selama 52 hari berkuat kuasa 10 Jun, 2024 sehingga tarikh akhir sah perakuan AOC syarikat itu pada 31 Julai, 2024.

Penggantungan sementara itu dilakukan mengikut peraturan 193(3), Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata dalam tempoh penggantungan itu, SAS disarankan untuk melaksanakan pematuhan terhadap segala keperluan kawal selia yang ditetapkan serta garis masa bagi memperoleh kelulusan sewajarnya daripada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) agar dapat beroperasi semula dengan selamat.

“CAAM mengeluarkan AOC bagi memberi kelulusan kepada pengendali operasi udara untuk terlibat dalam pengoperasian pesawat tertentu.

“Antara aspek utama yang dinilai untuk pemberian dan pembaharuan AOC adalah kemampuan pihak pengendali operasi udara untuk menjalankan pengoperasian yang selamat dan selaras dengan peruntukan spesifikasi operasi,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata sebagai badan kawal selia teknikal bagi industri penerbangan di Malaysia, CAAM bertanggungjawab mengawasi segala aspek teknikal pengoperasian udara bagi memastikan semua piawaian keselamatan dan sekuriti dipatuhi.

Norazman berkata CAAM menjalankan audit keselamatan terperinci untuk menilai keupayaan dan kecekapan pengendali operasi udara dalam bidang pengangkutan udara komersial, operasi dan layak terbang.

Menurut laporan media sebelum ini, CAAM mengesahkan penggantungan tiga bulan AOC SAS selepas Mavcom tidak memperbaharui permit perkhidmatan udara SAS.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan