EKONOMI

PAKAR EKONOMI GESA LAKSANAKAN PEMBAHARUAN SISTEM PERCUKAIAN MALAYSIA

12/06/2024 08:38 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) - Sistem percukaian Malaysia memerlukan pembaharuan berikutan pengagihan hasil bukan cukai yang tidak seimbang dan cenderung mengecilkan asas cukai, kata seorang pakar ekonomi.

Dr Nungsari Ahmad Radhi yang merupakan ahli lembaga pengarah Bank Negara Malaysia (BNM) berkata sistem percukaian negara mesti melalui pembaharuan untuk memberikan daya apungan yang lebih besar kepada hasil kerajaan dan meluaskan asas cukai.

“Masalah asas cukai kita ialah ia tidak memberangsangkan untuk menunjukkan satu peratus pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menghasilkan lebih daripada satu peratus hasil cukai,” katanya pada Simposium Sasana 2024 anjuran BNM hari ini.

Nungsari merupakan salah seorang ahli panel dalam sesi bertemakan “Navigating Economic Cycles: Interactions Between Monetary and Fiscal Policies”.

Beliau menegaskan bahawa sistem percukaian semasa bergantung kepada cukai langsung, seperti cukai pendapatan dan korporat dan pembayar cukai akan memantau perbelanjaan kerajaan.

Nungsari berkata pergantungan kepada hasil bukan cukai dalam bentuk dividen daripada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) adalah tidak mampan dalam jangka masa panjang.

“Kita telah mengambil begitu banyak daripada Petronas, mereka tidak berupaya membuat pelaburan yang mencukupi untuk meneroka lebih banyak telaga bagi membayar dividen yang telah mereka salurkan sebelum ini.

“Kita perlu bersedia untuk senario pascakarbon, pascaminyak (mentah) yang mana hasil berasaskan petroleum tidak lagi sebanyak seperti pada masa lalu,” katanya.

Nungsari, yang dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Penasihat Dasar kepada Perdana Menteri pada April tahun ini berkata bahawa dari segi jangka panjang, isu struktur yang diketengahkan dalam rangka kerja Ekonomi MADANI memerlukan pemerhatian yang teliti.

Jawatankuasa Penasihat Dasar kepada Perdana Menteri ditubuhkan untuk memberi khidmat nasihat terkait soal pembangunan negara dan daya tahan ekonomi sejajar dengan Ekonomi MADANI.

Simposium Sasana 2024 berlangsung selama dua hari dari 12-13 Jun, 2024 yang bertemakan  “Structural Reforms: Making it a Reality for Malaysia”. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan