AM

DIESEL: MTPN CADANG KERAJAAN LAKSANA BANTUAN TUNAI BERTERUSAN

12/06/2024 06:18 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) mencadangkan agar kerajaan menyediakan pengagihan bantuan tunai berterusan kepada golongan berpendapatan rendah bagi meringankan beban kos sara hidup yang semakin meningkat susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang bermula Isnin lalu.

Presiden Kebangsaan MTPN Datuk Dr Kevy KV Yeo dalam kenyataan hari ini berkata ini bagi membantu mengurangkan kesan inflasi dan memastikan kumpulan yang paling terjejas menerima bantuan segera.

Beliau berkata selain itu, kerajaan juga boleh melaksanakan subsidi sasaran dengan menggantikan subsidi diesel am dengan subsidi bersasar yang hanya diberikan kepada sektor tertentu seperti pengangkutan awam, pertanian dan perikanan.

“Ini memastikan subsidi hanya dinikmati oleh mereka yang benar-benar memerlukannya. Selain itu, pembangunan infrastruktur pengangkutan awam juga perlu bagi meningkatkan pelaburan dalam pengangkutan awam yang lebih cekap dan mesra alam sekali gus dapat mengurangkan pergantungan kepada kenderaan persendirian dan diesel.

“MTPN turut mencadangkan agar kerajaan mengawal harga barangan keperluan dengan memperkukuh kawalan harga ke atas keperluan asas bagi mengelakkan kenaikan harga yang melampau akibat peningkatan kos pengangkutan dan pengeluaran,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga perlu menggalakkan penggunaan tenaga baharu dengan menyediakan insentif untuk penggunaan tenaga boleh diperbaharui seperti kenderaan elektrik dan insentif ini mungkin dalam bentuk pengecualian cukai eksais, rebat tunai, atau pembiayaan murah untuk pemasangan sistem kuasa baharu.

“Program latihan dan penempatan semula pekerjaan untuk pekerja yang terperangkap dalam industri yang bergantung kepada diesel bagi membantu mereka memperoleh kemahiran dan peluang pekerjaan baharu dalam sektor lain yang sedang berkembang.

“Kempen kesedaran dan pendidikan juga boleh dilaksanakan untuk mendidik orang ramai tentang faedah jangka panjang mengurangkan subsidi diesel dan kepentingan beralih kepada kuasa yang lebih bersih dan mampa,” katanya.

Kevy berkata langkah-langkah ini perlu dilaksanakan dengan teliti dan bersinergi bagi memastikan impak pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dapat diminimumkan.

“MTPN menyambut baik usaha kerajaan MADANI memastikan peruntukan subsidi bahan api disasarkan kepada golongan benar-benar layak dan komited menyasarkan semula bahan api untuk mengekang aktiviti penyeludupan dan ketirisan subsidi rakyat.

“Berdasarkan beberapa kajian telah dilakukan MTPN, pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dapat mengurangkan beban fiskal dan memberi keadilan sosial dan membantu mengurangkan ketidaksamaan sosial dengan memastikan subsidi sebenarnya memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah yang paling memerlukan bantuan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan