EKONOMI

SUBSIDI BERSASAR LANGKAH POSITIF KE ARAH DASAR LEBIH ADIL, MAMPAN - GABENOR BNM

12/06/2024 07:35 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Peralihan daripada subsidi menyeluruh termasuk diesel, kepada sokongan yang lebih bersasar untuk mereka yang memerlukan perlu dialu-alukan sebagai langkah yang positif ke arah dasar yang lebih adil dan mampan seiring dengan membina ruang dasar fiskal, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Abdul Rasheed Ghaffour .

Beliau berkata tempoh kestabilan makroekonomi yang secara relatif stabil pada masa ini memberi peluang unik untuk melaksanakan pembaharuan yang bermakna dan membina masa depan yang lebih cerah.

“Kita tidak boleh, atau tidak seharusnya menganggap bahawa peluang ini akan sentiasa terbuka untuk negara. Kita perlu bersatu untuk menjadikan pembaharuan ini satu realiti bagi Malaysia,” katanya dalam ucapan alu-aluan di Simposium Sasana 2024 di sini hari ini.

Gabenor itu berkata keperluan untuk pembaharuan adalah jelas.

“Persekitaran ekonomi kita sentiasa berubah. Oleh itu, dasar kita perlu berkembang seiring dengan risiko dan kelemahan yang dikenal pasti.

“Pembaharuan yang merangkumi tanggungjawab fiskal, penambahbaikan jaringan keselamatan sosial serta peningkatan daya tahan iklim adalah mustahak untuk pertumbuhan negara kita yang mampan serta untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.

Mengulas tentang Simposium Sasana, beliau berkata ia bukan sekadar ucaptama dan perbincangan teknikal yang mendalam.

“Simposium ini juga akan mengetengahkan bahawa pembaharuan dan dasar bukan sekadar konsep dan idea abstrak, malah pembaharuan mampu memberikan kesan positif pada kehidupan rakyat Malaysia,” kata Abdul Rasheed,

Sebagai contoh, beliau berkata bahawa program iTEKAD yang merupakan program kewangan sosial yang dilancarkan oleh BNM semasa kemuncak pandemik telah menunjukkan kemajuan.

“Kami sukacita ingin berkongsi pada hari ini bahawa lebih 6,000 perniagaan kecil dan mikro telah mendapat manfaat daripada iTEKAD, dengan jualan bulanan meningkat hampir 90 peratus dan mewujudkan peluang pekerjaan dalam kalangan komuniti mereka,” katanya.

iTEKAD adalah program penaung yang diwujudkan oleh BNM bagi membantu usahawan mikro berpendapatan rendah memperkukuh pengurusan kewangan dan kepintaran dalam perniagaan ke arah menjana pendapatan yang berterusan.

Setiap program iTEKAD menggabungkan penyediaan aset perniagaan yang dibiayai oleh instrumen kewangan sosial seperti derma, pelaburan impak sosial, zakat dan wakaf tunai dengan kewangan mikro, berserta latihan kewangan dan perniagaan yang berstruktur.

-- BERNAMA


 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan