AM

PUSAT PERUBATAN SUNWAY ANJUR KURSUS VIVA FRCS (NEUROSURGERI)

12/06/2024 05:01 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Kursus Viva The Royal Colleges of Surgeons [FRCS (Neurosurgeri)] yang dianjurkan Pusat Perubatan Sunway (SMC), Bandar Sunway baru-baru ini merangkumi pelbagai modul seperti amalan latihan menyeluruh.

SMC dalam kenyataan memaklumkan kursus dua hari berkenaan membolehkan pelatih bedah saraf memperoleh pengalaman amali dengan senario viva nyata yang direka khusus dalam format peperiksaan FRCS.

 “Dipimpin Pakar Perunding Bedah Saraf SMC Dr Syed Abdullah Al-Haddad, sepasukan 14 ahli fakulti FRCS berperanan sebagai pemeriksa dan pemerhati kepada 12 peserta dari Malaysia, New Zealand, Singapura dan Hong Kong.

“Sesi dua hari terbabit diadakan khusus buat mereka yang bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan FRCS (Hong Kong/Singapura) dan International Neurosurgical Specialist, dengan mereka berpeluang untuk mendapatkan pandangan daripada pemeriksa,” menurut kenyataan berkenaan sambil menyatakan ahli fakulti itu termasuk perunding terkemuka dari Malaysia, United Kingdom dan Singapura.

Menurut SMC kursus itu juga menyediakan platform kepada pemeriksa dan calon peperiksaan untuk berkongsikan dan memperoleh pengetahuan antara satu sama lain.

“Inisiatif ini memperlihatkan komitmen berterusan SMC dalam memupuk minda perkongsian pengetahuan dan pertumbuhan secara berterusan, di samping menjadi hab bagi rawatan inovasi berpusatkan pesakit dan perkhidmatan klinikal yang komprehensif.

“Kursus ini turut menggalakkan pembelajaran interaktif, perbincangan dinamik dan penyediaan maklum balas secara peribadi. Hari pertama kursus meliputi asas dan persediaan bagi kursus klinikal manakala hari kedua menumpukan terhadap kursus viva, dengan calon peperiksaan menjawab soalan secara lisan berbanding format bertulis,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Dr Syed Abdullah yang juga penyelaras kursus berkata matlamat kursus itu adalah untuk menyediakan ruang kepada calon mendapatkan pengalaman dan bertindak balas terhadap senario yang hampir kehidupan sebenar.

“Kursus ini bukan sahaja menyediakan mereka untuk dinilai, tetapi yang paling penting menerapkan pembelajaran ke dalam amalan, melangkaui bilik peperiksaan,” katanya.

Dengan hampir 28 tahun pengalaman kepakaran perubatan di luar negara, Dr Syed Abdullah memiliki kepakaran dalam reseksi tumor otak menggunakan pemetaan dan pembedahan otak secara sedar menggunakan bimbingan imej secara masa nyata dan berpengalaman luas dalam bekerjasama dengan pasukan antara disiplin ketika pembedahan.

Beliau menumpukan terhadap penyakit tulang belakang degenaratif, trauma kranial dan tulang belakang, sakit muka dan hidrosefalus.

Dr Syed Abdullah juga merupakan pengasas dan bekas pengarah kursus viva Aberdeen FRCS (SN), menerbitkan pelbagai artikel dalam jurnal kajian semula setara, termasuk sebagai pengarang buku teks peperiksaan pembedahan saraf.

-- BERNAMA 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan