EKONOMI

PERBELANJAAN PELANCONGAN DOMESTIK MELONJAK 25.3 PERATUS PADA SUKU PERTAMA 2024

12/06/2024 04:51 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Perbelanjaan pelancongan domestik bagi suku pertama 2024 melonjak 25.3 peratus tahun ke tahun kepada RM24.1 bilion, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Jabatan itu menjelaskan bilangan pelawat domestik di Malaysia meningkat ketara untuk merekodkan 58.6 juta pelawat bagi suku pertama 2024, menokok 19.0 peratus berbanding suku yang sama tahun sebelumnya.

“Bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, pelawat domestik meningkat 6.5 peratus berbanding suku keempat 2023,” tambahnya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.

Sementara itu, Ketua Perangkaan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata prestasi tahunan pelancongan domestik di Malaysia mengalami peningkatan yang drastik pada 2023 dengan jumlah perbelanjaan mencatatkan RM84.9 bilion berbanding RM64.1 bilion pada 2022.

“Prestasi yang memberangsangkan bagi perbelanjaan ini didorong oleh peningkatan jumlah perbelanjaan oleh pelancong (34.4 peratus) dan pelawat harian (29.7 peratus), dengan perbelanjaan pelancong adalah penyumbang majoriti sebanyak 61.5 peratus (2022: 60.7 peratus).

“Jumlah pelawat domestik melonjak 24.6 peratus untuk mencatatkan 213.7 juta pelawat berbanding 171.6 juta pelawat pada 2022.

“Perbelanjaan tertinggi pelawat domestik adalah membeli-belah dengan sumbangan sebanyak 36.3 peratus (2022: 38.9 peratus), diikuti oleh makanan dan minuman, 16.3 peratus (2022: 15.2 peratus) dan pembelian bahan api kenderaan, 13.2 peratus (2022: 13.8 peratus),” katanya.

Melawat saudara-mara dan rakan-rakan kekal sebagai penyumbang utama bagi tujuan pelancongan domestik iaitu 33.6 peratus (2022: 33.7 peratus), namun ia masih belum mengatasi peratusan yang dicatatkan pada tahun pra-pandemik iaitu 42.3 peratus.

Membeli-belah kekal sebagai tujuan kedua dengan sumbangan 32.6 peratus (2022: 29.9 peratus), katanya.

Mengenai ketibaan pelawat domestik mengikut negeri pula, Mohd Uzir berkata Selangor muncul sebagai negeri dikunjungi paling ramai pelawat domestik pada 2023 iaitu menarik seramai 27.6 juta pelawat domestik, diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Sarawak masing-masing menerima 22.2 juta dan 17.9 juta pelawat domestik.

Jumlah pelancong domestik yang berkunjung ke Johor menunjukkan peningkatan yang ketara iaitu sebanyak 42.7 peratus bagi merekodkan 8.92 juta pelancong berbanding 6.25 juta pelancong pada 2022.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan