EKONOMI

PERBADANAN PINJAMAN SABAH BAYAR DIVIDEN INTERIM RM10 JUTA KEPADA KERAJAAN NEGERI

12/06/2024 04:44 PM

TUARAN, 12 Jun (Bernama) -- Perbadanan Pinjaman Sabah (PPS) membayar dividen interim sebanyak RM10 juta kepada kerajaan negeri bagi tahun kewangan 2023, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji berkata pembayaran dilakukan pada bulan lepas itu merupakan tanda kecemerlangan prestasi PPS sebagai agensi kerajaan negeri yang konsisten dalam menyampaikan perkhidmatan kepada pelanggan.

Beliau juga turut berpuas hati dengan langkah dan inisiatif PPS merangka polisi pembiayaan sedia ada, mewujudkan produk yang sesuai untuk pelbagai golongan dan mewujudkan lebih banyak pusat perkhidmatan pelanggan serta pejabat bergerak.

"Semua inisiatif ini sejajar dengan hala tuju dan pemboleh daya Sabah Maju Jaya iaitu kemudahan kewangan serta keberkesanan dan kecekapan penyampaian perkhidmatan," katanya ketika berucap merasmikan Program Cashless Tuaran dan Pusat Perkhidmatan Pelanggan PPS Tuaran di sini hari ini.

Mengenai program Cashless Tuaran, Hajiji berkata ia sesuai dengan sasaran kerajaan digital ke arah transaksi kewangan tanpa tunai di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan Pelan Tindakan Sektor Kewangan 2022-2026.

Belia berkata program itu mampu meningkatkan pengurusan kewangan untuk peniaga, menyediakan peluang pembangunan perniagaan baharu dan memperbaiki pengurusan inventori. 

Bagi memastikan usaha itu terlaksana, kerajaan Persekutuan dan negeri menyegerakan pembinaan 398 menara telekomunikasi di seluruh Sabah melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), katanya.

Menurut Hajiji kerajaan negeri juga  akan melancarkan portal penerimaan bayaran yang dinamakan "BayuPay" dalam masa terdekat dan akan memulakan penggunaan konsep 'Electronically Know Your Customer' (eKYC).

"Melalui eKYC semua pendaftaran perkhidmatan kerajaan tidak memerlukan orang awam hadir secara fizikal ke pejabat kerajaan bagi memohon bantuan atau mendapatkan perkhidmatan," katanya.

Dalam majlis yang sama, Hajiji turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) Cashless Tuaran antara  Sabah Credit Corporation (SCC) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif George Taitim, dan  United Overseas Bank (UOB), diwakili Pengarah Eksekutif dan Ketua Negara Perbankan Transaksi Lucas Chew.

Sementara itu, George berkata pembukaan terbaharu pusat khidmat pelanggan SCC di Tuaran adalah untuk membantu kerajaan negeri meningkatkan taraf sosio-ekonomi rakyat Malaysia di Sabah dengan akses mudah kepada perkhidmatan kewangan.

“SCC kini mempunyai 22 pusat pelanggan termasuk Ibu Pejabatnya di Penampang dengan 13 daripadanya adalah daerah utama iaitu UTC Sabah, Alamesra, Kota Belud, Kota Marudu, Kudat, Ranau, Keningau, Tenom, Beaufort, Papar, Sandakan, Lahad Datu dan Tawau .

“Pusat yang lebih kecil ialah di Telupid, Semporna, Beluran, Kinabatangan, Sipitang, Sook, Tambunan dan yang terbaru Tuaran,” katanya.

Chew berkata UOB berbangga memperkenalkan program Cashless Tuaran, bukti komitmen mereka dalam memupuk ketersambungan dan memacu pendigitalan dalam komuniti tempatan di Malaysia.

"Kami berhasrat untuk memperkasakan perniagaan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana dengan menyediakan mereka kemudahan untuk menerima transaksi tanpa tunai dengan lancar dan membuka jalan untuk berkembang dalam dunia digital," kata Chew.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan