AM

PERSEKITARAN MESRA INOVASI ADALAH KEUTAMAAN UNTUK BANGUNKAN POTENSI HIDROGEN - FADILLAH YUSOF

12/06/2024 04:17 PM

KUCHING, 12 Jun (Bernama) – Malaysia akan mengutamakan persekitaran mesra inovasi dalam mengiktiraf potensi hidrogen untuk merevolusikan pelbagai sektor.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata keutamaan ini adalah melalui sokongan kewangan, insentif untuk penggunaan teknologi dan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan.

“Kerajaan Malaysia mengesahkan komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk memanfaatkan kuasa hidrogen untuk masa depan yang mampan melalui pelaburan, insentif, pembangunan infrastruktur, inovasi dan kerjasama dalam membuka jalan bagi ekonomi hidrogen yang bermanfaat untuk kita semua dalam mengurangkan perubahan iklim,” katanya.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata demikian pada majlis penutup Persidangan dan Pameran Hidrogen Hijau Asia Pasifik (APGH) 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata beberapa agensi di bawah kementeriannya sedang menjalankan inisiatif hidrogen melalui peruntukan untuk penyelidikan sel bahan api, kerjasama pengeluaran daripada biojisim dan elektrolisis air serta projek pemangkin untuk pengeluaran dan eksport hidrogen hijau.

Fadillah berkata sokongan kuat kerajaan untuk ekonomi hidrogen adalah penting dan ini terbukti dalam Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen dan Teknologi yang dilancarkan baru-baru ini yang bertujuan meletakkan Malaysia sebagai peneraju ekonomi hidrogen menjelang 2050.

“Pelan hala tuju ini menangani cabaran utama merentasi rantaian nilai hidrogen, menekankan tadbir urus, pengkomersialan teknologi dan pembangunan modal insan dalam memacu agenda ini,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau berkata kerajaan juga prihatin terhadap pembangunan infrastruktur dan pelaburan yang penting untuk penerimaan dan penggunaan hidrogen secara meluas.

"Visi kami menjangkau kepada meletakkan diri kami sebagai peneraju dalam teknologi hidrogen dan inovasi di rantau ini dengan menyokong penyelidikan dan pembangunan serta memupuk ekosistem yang kondusif untuk penjanaan idea dan pertumbuhan perniagaan," tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan