AM

PIHAK BERKEPENTINGAN DISERU BERI PANDANGAN, RANGKA PENYELESAIAN TANGANI ANCAMAN KESELAMATAN DIGITAL - ASM

12/06/2024 03:36 PM

JOHOR BAHRU, 12 Jun (Bernama) -- Akademi Sains Malaysia (ASM) menyeru pihak berkepentingan termasuk penggubal dasar, peneraju industri, penyelidik, inovator dan usahawan untuk memberikan pandangan serta merangka penyelesaian dalam menangani ancaman keselamatan digital di negara ini.

Setiausaha Agung ASM Prof Dr Norsaadah Abd Rahman berkata ini kerana berdasarkan CyberSecurity Malaysia (CSM), ancaman siber dan pencerobohan data melonjak kepada 646 kes iaitu peningkatan 1,992 peratus pada tahun lepas berbanding 50 kes pada 2022.

“Menurut CSM, sektor awam mengalami pencerobohan data tertinggi iaitu meningkat 22 peratus diikuti sektor telekomunikasi sembilan peratus pada separuh pertama 2023.

“Bagi tiga bulan pertama tahun ini pula menunjukkan 142 kes kebocoran data daripada 1,555 insiden keselamatan siber yang direkodkan,” katanya ketika berucap pada program Jerayawara ASM Wilayah Selatan 2024 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini.

Turut hadir Naib Canselor UTM dan Pengerusi Wilayah Selatan ASM Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ASM Hazami Habib serta CEO eWorldwide Group Prof Dr Salma Abbasi.

Norsaadah berkata pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi menangani masalah keselamatan siber di Malaysia dan kerajaan menggandakan usaha untuk meningkatkan kapasiti serta daya saing negara dalam teknologi digital.

Beliau berkata ia termasuk Rang Undang-Undang Keselamatan Siber 2024 yang diluluskan Dewan Negara baru-baru ini yang juga satu langkah penting bagi mempertingkatkan keselamatan siber negara. 

“Langkah-langkah, piawaian dan proses yang spesifik dalam Rang Undang-Undang ini bertujuan  menguruskan ancaman keselamatan siber. 

“Pelaksanaan ini dijangka memberi impak dan keberkesanan yang baik kepada Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (CNII) dalam mengendalikan insiden keselamatan siber terutama di sektor kerajaan, perbankan dan kewangan serta sains, teknologi dan inovasi,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Fauzi berkata UTM sentiasa menekankan pemahiran semula dan pembangunan bakat dalam teknologi baharu dengan menawarkan pelbagai program komprehensif seperti Sarjana Keselamatan Siber di bawah Fakulti Komputeran dan pelbagai program profesional di bawah Fakulti Kecerdasan Buatan.

“UTM bukan sahaja terlibat dalam pasaran dan penyelidikan berpandukan industri tetapi juga menumpukan usaha pemahiran semula dan pembangunan bakat. UTM turut menduduki tempat pertama dengan konsisten dalam kalangan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Malaysia dengan 85.4 peratus daripada graduan UTM memiliki tahap kemahiran yang tinggi,” katanya.

Terdahulu, Jerayawara ASM Wilayah Selatan 2024 dengan kerjasama UTM menarik penyertaan peserta dalam talian dan fizikal, melibatkan wakil-wakil industri, agensi kerajaan, syarikat multinasional dan syarikat pemula dengan Program 10-10 MySTIE Technology Series, Innovation Kopitiam dan ideaXchange ke-40 menjadi sorotan utama jerayawara itu.

Program 10-10 MySTIE Technology Series memfokuskan kepada peningkatan keselamatan digital negara melalui fungsi keselamatan siber dan teknologi blok rantai, manakala Innovation Kopitiam pula adalah sebuah sesi perbincangan terbuka bagi perkongsian idea serta sesi rangkaian dalam kalangan peserta.

Sementara forum ideaXchange ke-40 pula diadakan bagi merungkai cabaran serta halangan yang ada dalam membangunkan ekosistem yang ingin dicapai serta meneroka keperluan infrastruktur sedia ada dalam meletakkan Malaysia sebagai sebuah hab perniagaan dan perkhidmatan yang mantap.

Jerayawara sehari itu turut mempamerkan pelbagai inisiatif serta program ASM termasuk Malaysia Open Science Platform (MOSP), Rangka Kerja 10-10 MySTIE, Kesihatan Planet, Tropical Science Foundation, e-estidotmy, Keahlian ASM, Komunikasi Sains dan peluang kerjaya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan