SUKAN

MABA KENANG JASA TAN SRI CHAN AH CHYE

12/06/2024 02:30 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) menyifatkan bekas presidennya Tan Sri Chan Ah Chye sebagai seorang pemimpin berwawasan yang telah memberikan sumbangan besar dalam sukan itu.

MABA dalam kenyataan hari ini memaklumkan Chan telah menyumbang dalam pembentukan masa depan sukan bola keranjang Malaysia dan memberikan inspirasi kepada pemain serta peminat sukan itu di negara ini.

“Kepimpinan dan dedikasi beliau terhadap sukan ini telah meninggalkan kesan yang tidak dapat dilupakan dalam komuniti bola keranjang Malaysia.

“Ingatan dan doa kami bersama keluarga dan orang tersayangnya semasa dalam situasi sukar ini. Legasinya akan terus hidup dalam hati dan minda semua yang mengenali beliau dan dalam sukan yang amat dicintainya,” menurut MABA.

Presiden MABA Datuk Seri Lee Tian Hock telah melawat Chan pada Februari tahun lepas untuk bertanya khabar dan berkongsi perkembangan terkini mengenai rancangan dan masa depan MABA.

Menurut laporan media semalam, Chan, taikun hartanah yang juga pengasas dan pemegang saham tunggal terbesar Talam Transform Bhd (sebelum ini dikenali Talam Corp Bhd) meninggal dunia pada usia 78 tahun.

Talam Transform Bhd mengumumkan berita pemergian Chan dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan