KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Penyerang tengah skuad Harimau Malaya, Sergio Aguero tetap berbangga dengan pencapaian pasukan kebangsaan mengumpul 10 mata dalam saingan Kumpulan D walau terpaksa menelan pahit tidak berjaya ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.
Pada perlawanan malam tadi, Malaysia mencatat kemenangan 3-1 mengatasi Taiwan pada perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, namun ia tidak cukup untuk membawa skuad bimbingan Kim Pan Gon ke peringkat seterusnya.
“Setiap perlawanan adalah sukar, tambahan pula bukan mudah untuk menjaringkan tujuh hingga lapan gol seperti yang dimaklumkan sebelum ini tapi sekurang-kurangnya kami menang. Sudah tentu kami mahu menang dengan gol besar tetapi kami telah cuba dan pemain juga telah berikan yang terbaik dalam padang.
“Saya rasa kita telah lakukan yang terhebat dengan mengutip 10 mata pada kempen kali ini, beberapa pasukan yang layak dengan mendapat lapan atau sembilan mata saja,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan malam tadi.
Terdahulu, Malaysia bergantung kepada Oman untuk membelasah Kysgyzstan dalam satu lagi aksi Kumpulan D di Muscat tengah malam tadi, namun harapan negara lebur selepas kedua-dua pasukan itu mencatat keputusan seri sekali gus menyaksikan Harimau Malaya menduduki tangga ketiga kumpulan.
Oman mendahului Kumpulan D dengan 13 mata diikuti Kyrgyzstan kedua dengan 11 mata manakala Taiwan tercorot tanpa mata.
Dua pasukan teratas setiap kumpulan layak secara automatik ke Piala Asia 2027 dan pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 manakala dua pasukan terbawah pula perlu menempuh pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 di Arab Saudi bermula Mac 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial