SUKAN

PAN GON MAHU TERUS KEMUDI HARIMAU MALAYA HINGGA PIALA ASIA 2027

12/06/2024 03:40 AM

KUALA LUMPUR,  11 Jun (Bernama) -- Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Kim Pan Gon menyuarakan hasrat untuk terus mengemudi pasukan Harimau Malaya walaupun skuad negara terlepas peluang untuk layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.

Pengendali warga Korea Selatan itu yang kontraknya tamat awal tahun depan berkata beliau mahu kekal bersama pasukan kebangsaan sehingga Piala Asia 2027.

Bagaimanapun, bekas pengarah pasukan Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) berusia 55 tahun itu akan menyerahkan keputusan mengenai nasibnya kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Mengenai kontrak saya harus kekal di sini dan saya tidak pernah meminta untuk meninggalkan pasukan. Sebaliknya jika dipaksa keluar, saya akur...saya sentiasa berusaha di sini tetapi dari semasa ke semasa saya letih, sangat letih tetapi akhirnya berdiam diri dan berjuang.

“Tetapi ini (kekal atau pergi) bukan keputusan saya dan semua bergantung kepada FAM, media, peminat dan kelab,”katanya.

Pan Gon berkata demikian ketika ditanya mengenai masa depannya dalam sidang media selepas Malaysia menewaskan Taiwan 3-1 dalam perlawanan terakhir Kumpulan D pusingan kedua Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini .

Harapan Malaysia untuk melangkah lebih jauh dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026 sudah hampir tertutup  walaupun menang 3-1.

Bagaimanapun, Malaysia kini perlu berharap untuk Oman membelasah Kyrgyzstan dalam satu lagi perlawanan Kumpulan D di Muscat yang dijadualkan bermula tengah malam (waktu Malaysia).

Oman sekurang-kurangnya perlu mencatat kemenangan 7-0 untuk membolehkan Malaysia memintas Kyrgyzstan di tempat kedua berdasarkan jumlah perbezaan jaringan sekali gus mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.

Malaysia kini berada di tangga ketiga dalam kedudukan empat pasukan dengan 10 mata, sama seperti Kyrgyzstan (kedua). Oman mendahului kumpulan dengan 12 mata manakala Taiwan tercorot tanpa mata.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan