AM

MAXIS PERLUAS KEMPEN KITAR SEMULA E-SISA DENGAN PERKHIDMATAN PENGHANTARAN POS PERCUMA

11/06/2024 10:06 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Kempen kitar semula e-sisa Maxis yang dilancarkan sejak lapan bulan lepas kini diperluas dengan penambahan khidmat penghantaran pos drop-off percuma untuk semua pengguna di Semenanjung Malaysia.

Maxis dalam kenyataan memaklumkan kempen berkenaan yang bermula dengan penawaran perkhidmatan yang mudah untuk premis dan kediaman komersial di Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang telah mencapai kemajuan ketara dalam mempromosikan tabiat pelupusan e-sisa yang bertanggungjawab dalam kalangan rakyat Malaysia.

Diuruskan oleh rakan kempen Maxis, Electronic Recycling Through Heroes (ERTH) iaitu sebuah pusat pengumpulan e-sisa yang berdaftar dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS), perkhidmatan terbaharu ini memudahkan lagi pengitaran semula e-sisa dan menggalakkan pengguna untuk mengamalkan tabiat mesra alam.

“Kini, sesiapa yang menetap di dalam atau di luar kawasan perkhidmatan kutipan boleh memilih untuk menghantar peranti e-sisa mereka ke ERTH melalui lebih daripada 1,000 cawangan Pos Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Sumber Manusia dan Transformasi Maxis Patrick Er dalam kenyataan berkenaan berkata syarikat berkenaan komited untuk mengurangkan kesan bahaya e-sisa dan menjadi pemangkin kepada perubahan alam sekitar yang positif.

“Kemajuan yang telah kami capai dengan ERTH mengetengahkan kepentingan menjadikan pengitaran semula e-sisa mudah diakses oleh semua pengguna.

“Kami berharap dapat bekerjasama dengan lebih ramai rakan kongsi untuk meluaskan jangkauan kempen serta memupuk tabiat pelupusan dan kitar semula e-sisa yang bertanggungjawab di seluruh negara bagi menyumbang kepada ekonomi kitaran yang lebih hijau dan masa depan yang lebih mampan,” katanya.

Sementara itu, Pengasas ERTH Mohamed Tarek El-Fatatry berkata sejak penubuhannya, ERTH telah menerima permintaan kitar semula dari seluruh negara, sebahagian dari luar kawasan liputan dan kawasan lain dengan kuantiti barang yang kurang daripada minimum yang diperlukan untuk kutipan percuma.

Beliau berkata sehubungan itu, ERTH telah bekerjasama dengan Pos Malaysia untuk menjadikan kitar semula e-sisa mudah diakses di seluruh Semenanjung tanpa mengira kawasan liputan atau kuantiti.

“Kami gembira kerana perkhidmatan pos drop-off ni telah memainkan peranan penting dalam mempercepat jumlah kutipan dan kami sukacita dapat melanjutkan pilihan pos tambahan ini kepada kerjasama kami dengan Maxis yang kini sudah berjaya,” katanya.

Setakat ini kempen kitar semula e-sisa Maxis bersama ERTH telah mengumpul lebih daripada 15,000 peranti, menghalang lebih daripada 29 tan e-sisa daripada terkumpul di tapak pelupusan.

Untuk menghantar peranti mereka, pengguna hanya perlu mengisi borang permintaan melalui laman web Maxis dan menyenaraikan barangan yang mereka ingin kitar semula untuk menerima label penghantaran percuma Pos Malaysia. 

Untuk maklumat lanjut berkaitan kempen kitar semula e-sisa dan dan cara mengitar semula peranti anda secara bertanggungjawab, layari www.maxis.com.my/ewaste/.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan