AM

KASTAM TINGKAT USAHA PASTIKAN AKAUNTABILITI, KETELUSAN DALAM KUTIPAN CUKAI

11/06/2024 09:14 PM

PUTRAJAYA, 11 Jun (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sedang mempertingkatkan usaha bagi memastikan akauntabiliti dan ketelusan dalam pengurusan kutipan dan perbelanjaan cukai, kata Ketua Pengarahnya Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin.

Beliau berkata jabatan berkenaan komited untuk menegakkan prinsip percukaian progresif dan memastikan sistem cukai yang adil serta saksama untuk seluruh rakyat Malaysia.

“Akauntabiliti sangat penting dalam sistem pentadbiran cukai. Kami (JKDM) mengakui bahawa pembayar cukai mempunyai hak untuk mengetahui bagaimana wang hasil mereka dibelanjakan.

"Inilah sebabnya kami memperkukuh mekanisme kami terhadap akauntabiliti dan ketelusan dalam kutipan cukai dan pengurusan perbelanjaan,” katanya dalam ucaptama pada penutup Forum Dasar Percukaian Malaysia keempat di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman dan Cukai Dalam Negeri) Datuk Aidid Tajuddin.

Anis Rizana berkata JKDM sedang melabur dalam platform digital dan peralatan inovasi untuk meningkatkan kebolehcapaian dan kefahaman maklumat cukai untuk semua rakyat negara ini.

 "Ketelusan cukai juga merupakan dasar kami. Kami memahami bahawa pembayar cukai layak menerima kejelasan dan keyakinan berkaitan tanggungjawab mereka.

“Menerusi pelbagai inisiatif seperti transaksi dalam talian dan kemas kini dalam masa nyata berkaitan dasar percukaian, kami memperkasakan pembayar cukai untuk menunaikan tanggungjawab mereka dengan berkeyakinan dan mudah,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa kemudahan perdagangan kekal menjadi keutamaan JKDM memandangkan jabatan terbabit mengakui bahawa kelancaran dan kecekapan proses pelepasan kastam penting untuk perniagaan dan ekonomi berkembang maju.

 “Bagi mencapai matlamat berkenaan, kami sedang melabur dalam memodenkan prosedur kastam, mengguna pakai teknologi dan inovasi seperti mesin pengimbas dilengkapi teknologi kecerdasan buatan untuk menyelaras proses, mengurangkan kertas kerja serta mempercepat pelepasan kargo,” katanya.

Sebagai sebuah negara perdagangan, Anis Rizana berkata Malaysia amat menyedari terhadap kepentingan melindungi sempadan negara daripada perdagangan haram, penyeludupan dan keganasan.

“Kami kekal teguh terhadap komitmen kami bagi melindungi keselamatan dan integriti negara. Melalui peningkatan terhadap pengurusan risiko, perkongsian maklumat perisikan dan kerjasama dengan rakan antarabangsa kami, kami memperkukuh usaha untuk memerangi jenayah rentas sempadan dan melindungi rakyat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan