POLITIK

PRK SUNGAI BAKAP: CALON KERAJAAN PERPADUAN DIUMUM ESOK

11/06/2024 08:37 PM

GEORGE TOWN, 11 Jun (Bernama) -- Calon yang akan mewakili Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap akan diumumkan pada 9 malam esok.

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu dicapai pada mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH) yang berlangsung hari ini di Seri Perdana, Putrajaya.

“Bagi maksud penyelarasan dan penyeragaman gerak kerja jentera PRK, mesyuarat memutuskan untuk melantik Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli dan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Jentera Pilihan Raya Kerajaan Perpaduan.

“Pengerusi Operasi Bersama PRK DUN Sungai Bakap mewakili Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang akan diketuai oleh Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan Pengerusi BN negeri Datuk Musa Sheikh Fadzir,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai ini sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian awal ditetapkan pada 2 Julai.

PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN lepas, Nor Zamri yang merupakan Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH Nurhidayah Che Ros dengan majoriti 1,563 undi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan