EKONOMI

BOUSTEAD PLANTATIONS OPTIMIS BERHUBUNG IMPAK JANGKA PANJANG RASIONALISASI SUBSIDI DIESEL

11/06/2024 06:35 PM

KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Boustead Plantations Bhd (BPlant) optimis bahawa inisiatif kerajaan untuk merasionalisasi subsidi diesel akan memberi impak jangka panjang yang positif terhadap industri perladangan. 

Menurut kumpulan perladangan itu dalam kenyataan hari ini, langkah tersebut akan memastikan pengagihan sumber yang adil dan cekap.

Selain itu, BPlant mengesahkan keberkesanan dan prestasi perniagaannya tidak akan terjejas berikutan ia telah menggunakan bahan api diesel pada kadar komersial untuk semua operasinya.

“Oleh itu, pemansuhan subsidi diesel tidak akan memberi sebarang impak langsung kepada kumpulan, selain daripada manfaat yang lebih luas yang diberikan dari segi pertumbuhan ekonomi yang mampan dan kemajuan ekonomi secara keseluruhannya,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif BPlant Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata rasionalisasi subsidi diesel akan memberi manfaat kepada pekebun kecil yang bergantung kepada kenderaan persendirian untuk mengangkut tandan buah segar ke kilang sawit BPlant. 

“Dengan merasionalisasikan subsidi diesel, ini bukan sahaja menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang mampan tetapi juga melindungi kepentingan rakan pekebun kecil kami, yang penting dalam kejayaan industri minyak sawit,” katanya.

Ahad lepas, kerajaan mengumumkan harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia ditetapkan pada RM3.35 seliter berkuat kuasa 10 Jun di bawah sistem subsidi bersasar. 

Harga diesel akan kekal pada RM2.15 seliter di Sabah, Sarawak dan Labuan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan