POLITIK

Prk Sungai Bakap: Mca Dialu-alukan Bantu Kempen Calon Kerajaan Perpaduan - Loke

11/06/2024 06:30 PM

GEORGE TOWN, 11 Jun (Bernama) -- Setiausaha Agung DAP Anthony Loke mengalu-alukan penglibatan MCA bagi membantu kempen calon mewakili Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

“Mungkin mereka telah mengubah fikiran, jadi kita alu-alukan (kempen untuk calon di PRK Sungai Bakap)," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Pengangkutan ASEAN ke-57 di sini hari ini.

Pada Sabtu lepas, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dilapor berkata parti itu berkemungkinan akan turun membantu kempen calon Kerajaan Perpaduan pada PRK berkenaan.

Pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu sebelum ini, MCA berpendirian tidak akan berkempen sekiranya calon Barisan Nasional (BN) tidak diletakkan bertanding di situ.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai ini sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian awal ditetapkan pada 2 Julai.

PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada PRN lepas, Nor Zamri yang merupakan Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Nurhidayah Che Ros dengan majoriti 1,563 undi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan