AM

JUMLAH TENAGA BURUH MENINGKAT 0.1 PERATUS PADA APRIL - DOSM

10/06/2024 03:48 PM

PUTRAJAYA, 10 Jun (Bernama) -- Jumlah tenaga buruh pada April 2024 meningkat sebanyak 0.1 peratus mencatatkan 17.12 juta orang (Mac 2024: 17.10 juta orang) dengan kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.3 peratus seperti pada bulan sebelumnya, menurut Statistik Tenaga Buruh.

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata jumlah pekerja pada April 2024 terus mencatatkan peningkatan dengan pertumbuhan bulan ke bulan sebanyak 0.1 peratus kepada 16.56 juta orang berbanding bulan sebelumnya (Mac 2024: 16.53 juta orang).

“Bilangan penganggur pada bulan itu mencatatkan sedikit penurunan sebanyak 0.04 peratus kepada 566,400 orang berbanding 566,600 orang pada Mac 2024.

“Kadar pengangguran pada April kekal pada 3.3 peratus seperti dicatatkan bulan lepas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengenai kedudukan guna tenaga, Mohd Uzir berkata kategori pekerja merangkumi 75.1 peratus daripada jumlah pekerja pada April 2024.

Kumpulan ini meningkat sebanyak 0.1 peratus kepada 12.43 juta orang (Mac 2024: 12.42 juta orang) dan kategori penduduk bekerja sendiri terus berada pada trend menaik dengan kadar pertumbuhan 0.3 peratus kepada 3.04 juta orang (Mac 2024: 3.03 juta orang).

Mengenai situasi pengangguran pada bulan itu, beliau berkata 79.7 peratus daripada jumlah itu terdiri  penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan. 

“Kategori ini menurun sedikit sebanyak 0.03 peratus kepada 451,400 orang (Mac 2024: 451,500 orang).

“Dalam kalangan penganggur aktif, mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan merangkumi 61.7 peratus, manakala mereka yang menganggur melebihi setahun ialah 6.7 peratus. Mereka yang percaya tiada pekerjaan tersedia atau menganggur tidak aktif menurun sedikit sebanyak 0.05 peratus kepada 115,000 orang,” katanya.

Bagi kumpulan tidak aktif, beliau berkata bilangan pendududuk di luar tenaga buruh pada April 2024 mencatatkan sedikit peningkatan sebanyak 0.01 peratus kepada 7.23 juta orang (Mac 2024: 7.23 juta orang).

Sebab utama penduduk berada di luar tenaga buruh disebabkan oleh kerja rumah atau tanggungjawab keluarga peratus sumbangan sebanyak 42.7 peratus diikuti bersekolah atau latihan sebanyak 41.4 peratus.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan