AM

YAYASAN TERENGGANU TANDATANGAN MOA DENGAN UNISHAMS

28/05/2024 06:13 PM

KUALA TERENGGANU, 28 Mei (Bernama) -- Kerajaan Terengganu melalui Yayasan Terengganu (YT) menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS) bagi tujuan kemasukan pelajar dalam bidang perubatan.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata perjanjian itu adalah susulan kerjasama yang dimeterai dua tahun lepas bagi membuka ruang pengajian kepada pelajar khususnya dalam Program Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS).

Beliau berkata dengan perjanjian tersebut, pelajar tajaan YT akan dihantar mengikuti pengajian di UniSHAMS yang memiliki kualiti setaraf dengan institusi luar negara.

"Seramai 50 pelajar telah dihantar mengikuti pengajian dalam bidang perubatan dan pergigian di luar negara menerusi Program Biasiswa Skim Cemerlang yang dilaksanakan sejak 2019.

"Bagaimanapun faktor global seperti ketidakstabilan ekonomi serta ketidaktentuan geopolitik menyebabkan kos pengajian semakin tinggi. Sebagai langkah proaktif, kerajaan negeri berhasrat membuka laluan pengajian dalam negara sebagai alternatif," katanya ketika berucap pada majlis menandatangani MoA antara YT dengan UniSHAMS di Wisma Darul Iman hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Sanusi Md Nor dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri Terengganu Datuk Satipul Bahri Mamat.

Mengulas lanjut Ahmad Samsuri berkata pemilihan UniSHAMS sebagai pusat pengajian disebabkan faktor kos pengajiannya yang paling rendah berbanding Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang lain.

Selain itu ia juga mendapat pengiktirafan badan akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Majlis Perubatan Malaysia (MMA).

"UniSHAMS yang dimiliki sepenuhnya kerajaan negeri Kedah merupakan pilihan terbaik dari segi kualiti, tenaga pengajar, fasiliti serta kos pengajian paling rendah berbanding IPTS lain.

"Kita telah menghantar seramai 13 pelajar ke UniSHAMS dan mereka semua berjaya mengekalkan kecemerlangan dalam peperiksaan baru-baru ini," katanya.          

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan