EKONOMI

Pavilion Malaysia Di Kazanforum Tarik 200 Sesi Padanan Perniagaan Dalam Tiga Hari

18/05/2024 12:50 PM

Oleh Rohani Mohd Ibrahim

KAZAN (Tatarstan, Rusia) 18 Mei (Bernama) -- Forum Ekonomi Rusia-Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-15 (KazanForum 2024) di sini berjaya merekodkan lebih 200 sesi padanan perniagaan (business matching) sepanjang tiga hari beroperasi, kata pengurus Pavilion Malaysia di forum berkenaan Muna Tasu.

Beliau yang juga Setiausaha Pertama (Pertanian) Pejabat Perwakilan Pertanian di Kedutaan Malaysia di The Hague, Belanda ketika ditemui Bernama di Pavilion Malaysia pada Jumaat berkata produk keluaran usahawan Malaysia yang banyak mendapat perhatian ialah Salt Cola, snek nanas, jus nanas dan pelbagai sambal.

“Produk-produk ini menarik minat delegasi dari Pakistan, Azarbejian, Rusia, Kyrgyzstan,” katanya. 

Menurut Muna, sebanyak 11 pempamer Malaysia menyertai Pavillion  Malaysia pada KazanForum kali ini dengan lapan pempamer di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM). 

Katanya Pavilion Malaysia di KazanForum kali ini menawarkan pelbagai informasi berkaitan industri halal, pendidikan di Malaysia dan produk-produk halal yang dibawakan oleh para usahawan untuk tujuan promosi.

Muna berkata KPKM berperanan sebagai penyelaras penyertaan Malaysia dalam KazanForum kali ini. 

Agensi lain yang terlibat dalam Pavilion Malaysia ialah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Education Malaysia Global Services sebuah agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi. 

Pavilion Malaysia di KazanForum dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akhbar Khan.

Turut hadir semasa majlis perasmian ialah Duta Malaysia ke Rusia Datuk Loon-Lai Cheong. 

KazanForum 2024 berlangsung dari 14 hingga 19 Mei. 

Ia menawarkan platform untuk pakar ekonomi dan kewangan antarabangsa terkemuka dari dunia Islam untuk mengukuhkan hubungan antara negara-negara OIC dan Rusia dalam bidang ekonomi, pendidikan, sosial dan budaya. 

Selain Malaysia, lebih 80 negara mengesahkan penyertaan dalam acara itu tahun ini termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Turkiye, Iran, Libya dan anggota OIC yang lain. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan