AM

PERSIDANGAN KEBANGSAAN SSM KE-12 SERLAH TANGGUNGJAWAB PERANGI AML/CFT

09/06/2023 09:03 AM

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Syarikat Malaysia  (SSM) akan menganjurkan Persidangan Kebangsaan SSM kali ke-12 bulan depan dengan tema, Shared Responsibility in Strengthening Anti-Money Laundering/Countering Financing of Terrorism Compliance: Risks, Challenges and Collaborations.

Ketua Pegawai Eksekutif SSM Datuk Nor Azimah Abdul Aziz berkata persidangan secara dalam talian selama dua hari yang berlangsung dari 25 hingga 26 Julai itu antara lain bertujuan mengukuhkan kerjasama dalam kalangan pengawal selia, agensi penguatkuasaan undang-undang dan pemain industri dalam mencegah pengubahan wang haram serta pembiayaan keganasan sebagai tanggungjawab bersama. 

Beliau berkata persidangan itu juga akan meneroka jangkaan kawal selia, menilai pencegahan pengubahan wang haram atau pencegahan pembiayaan risiko keganasan dan mengkaji strategi antarabangsa dan domestik terkini untuk memerangi rasuah. 

Beliau menambah bahawa topik yang dipilih untuk persidangan kebangsaan tahun ini adalah tepat dalam usaha mempromosikan ketelusan kewangan dan menghalang mereka yang cuba menyalahgunakan sistem kewangan untuk tujuan haram. 

"Memerangi pengubahan wang haram dan menangani pembiayaan keganasan secara berkesan memerlukan usaha bersama pelbagai pihak termasuk negara, kerajaan, syarikat dan individu.

"Dalam mencapai matlamat ini, persidangan kebangsaan SSM bertujuan untuk menjalinkan kerjasama yang lebih erat dalam kalangan semua pemain dalam ekosistem pencegahan pengubahan wang haram dan pencegahan pembiayaan keganasan ke arah memupuk budaya pematuhan yang lebih kukuh untuk menangani risiko atau trend semasa dan baru muncul dengan lebih baik," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Nor Azimah berkata Persidangan Kebangsaan SSM telah menjadi platform terbaik dan platform rangkaian untuk ahli perniagaan dan profesional korporat untuk kekal relevan dalam persekitaran perniagaan yang sentiasa berubah. 

Persidangan tahun ini akan menawarkan 11 sesi pleno dengan 46 ahli panel terkenal serta 20 pempamer dalam talian dan dijangka menarik lebih 2,000 perwakilan termasuk pemimpin industri, ahli akademik, eksekutif kanan, setiausaha syarikat dan profesional.

Ahli panel termasuk Pengarah Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan (FIED) Bank Negara Malaysia Mohd Fuad Arshad, Timbalan Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Faizal Sadri.

Ahli panel lain termasuk Timbalan Pengarah Jabatan Tugas-Tugas Khas Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia Nik Hasrol Syahir Nik Hassan, Penolong Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Polis Diraja Malaysia ACP Dr P. Subramanian dan Pemangku Naib Presiden Bahagian Perkhidmatan Responsif Keselamatan Siber CyberSecurity Malaysia Ts Mohd Zabri Adil Talib.

Antara topik yang akan dibincangkan semasa persidangan itu termasuk Preventing Money Laundering and Terrorism Financing - Malaysia Risk’s Map; Board of Directors on Building an Effective Governance & Integrity Ecosystem; Stepping Up The Game - Leveraging on Emerging Technology to Fight Corruption and Be Scam Aware.

Peserta yang menyertai persidangan itu turut menerima 16 Mata Pendidikan Profesional Berterusan (CPE).

Jangan lepaskan peluang untuk mengetahui pandangan mengenai Shared Responsibility in Strengthening Anti-Money Laundering/Countering Financing of Terrorism Compliance: Risks, Challenges and Collaborations melalui persidangan utama ini. 

Mereka yang berminat boleh mendaftar sekarang di https://e-comtrac.ssm.com.my dengan bayaran RM500 sebelum 11 Julai 2023.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 03-2299 5200 atau e-mel comtrac@ssm.com.my.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan