EKONOMI

MALAYSIA TARIK PELABURAN DILULUSKAN BERNILAI RM71.4 BILION PADA SUKU PERTAMA 2023 - MIDA

29/05/2023 09:25 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Malaysia menarik pelaburan diluluskan bernilai RM71.4 bilion dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama bagi suku pertama 2023, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida).

Agensi penggalakan dan pembangunan pelaburan utama kerajaan itu menjelaskan pelaburan ini melibatkan 1,265 projek yang dijangkakan menjana 23,977 peluang pekerjaan baharu.

“Berdasarkan landskap pelaburan yang kondusif, Malaysia terus memperoleh lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) berbanding pelaburan langsung domestik (DDI).

“FDI menyumbang RM37.5 bilion, mewakili 52.5 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan,” menurut Mida dalam kenyataan pada Isnin.

Singapura mendahului dalam aspek pelaburan yang diluluskan dengan jumlah RM11.5 bilion, diikuti oleh British Virgin Islands (RM7.1 bilion), China (RM6.5 bilion), Hong Kong (RM2.9 bilion) dan Korea Selatan (RM2.5 bilion).

Sementara itu, DDI menyumbang RM33.9 bilion, menunjukkan keyakinan baharu daripada kalangan pelabur domestik terhadap kemajuan dan prospek ekonomi Malaysia, tambah agensi itu.

Mida menambah dari segi projek yang diluluskan mengikut negeri, lima negeri teratas yang menarik sebahagian besar pelaburan diluluskan ialah Kuala Lumpur dengan RM21.8 bilion, disusuli Johor (RM10.6 bilion), Selangor (RM7.4 bilion), Perak (RM7.1 bilion) dan Sabah (RM6.3 bilion).

Dari segi sektor, sektor perkhidmatan menarik bahagian terbesar pelaburan yang diluluskan iaitu sebanyak RM53.6 bilion (dengan lebih 12,000 peluang pekerjaan), diikuti sektor perkilangan (RM15.6 bilion, lebih 11,900 pekerjaan baharu) dan sektor utama (RM2.2 bilion).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata keupayaan Malaysia menarik pelaburan diluluskan bernilai RM71.4 bilion pada suku itu membuktikan daya tarikan berterusan Malaysia sebagai kuasa pelaburan.

“FDI dan pelaburan domestik hampir sepadan antara satu sama lain dari segi nilai. Dari perspektif domestik, ini jelas mencerminkan keyakinan baharu terhadap prospek pertumbuhan Malaysia.

“Semua ini akan memberi kesan limpahan positif, terutama kepada perusahaan kecil dan sederhana dalam rantaian bekalan domestik, selain kepada rakyat dari segi pekerjaan dengan gaji lebih baik, yang akan membantu menyokong ekonomi kita dalam menghadapi pelbagai cabaran global tahun ini. ,” katanya.

Landskap pelaburan Malaysia menyediakan prospek cerah dengan perancangan pelaburan yang dicadangkan dan mendorong projek diselia oleh pihak Mida.

Mida menjelaskan pada masa ini terdapat 878 projek meliputi cadangan pelaburan bernilai RM35.9 bilion untuk projek yang akan dilaksanakan dan RM150.4 bilion untuk projek utama.

Sektor pembuatan mendahului dengan 78.8 peratus (RM28.3 bilion) projek yang dirancang, manakala sektor perkhidmatan menyumbang 21.2 peratus (RM7.6 bilion), menunjukkan portfolio pelaburan yang pelbagai.

Ketua Pegawai Eksekutif Mida, Datuk Arham Abdul Rahman berkata perancangan yang teguh dan portfolio projek utama ini memperkukuh reputasi Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik dan berkembang maju, dipacu oleh lokasi strategik, infrastruktur lengkap, tenaga kerja mahir dan dasar perniagaan yang menyokong.

Beliau berkata Mida, sebagai agensi penggalakan pelaburan utama di Malaysia, kekal komited memupuk persekitaran yang kondusif untuk perniagaan dan pelabur, dan angka memberangsangkan ini mencerminkan keyakinan mereka terhadap potensi Malaysia bagi pertumbuhan dan kejayaan jangka masa panjang.

“Dalam melangkah maju, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Mida menyasar untuk mengekalkan momentum ini dengan menarik pelaburan baharu yang sejajar dengan objektif Dasar Pelaburan Baharu, ke arah pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif untuk Malaysia,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan