EKONOMI

426 PROJEK BERPOTENSI DENGAN JUMLAH PELABURAN RM107.6 BILLION DI PERINGKAT RUNDINGAN AKTIF - MITI

28/03/2023 05:29 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) -- Terdapat 426 projek berpotensi dalam pelaburan langsung asing (FDI) dan tempatan dengan jumlah pelaburan terkumpul RM107.6 bilion berada di peringkat rundingan aktif sehingga Mac 2023, dan dijangka dimeterai dalam tahun ini, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Kementerian itu menjelaskan pada tahun ini kerajaan menerusi MITI dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berjaya mendapatkan komitmen pelaburan FDI melalui misi pelaburan ke beberapa negara.

“Antaranya misi pelaburan ke Milan, Itali dengan komitmen pelaburan sejumlah RM3.25 bilion pada 20 hingga 23 Jan, 2023.

“Misi pelaburan ke Singapura dengan komitmen pelaburan sejumlah RM13 bilion pada 28 hingga 31 Jan, 2023 selain misi pelaburan ke Korea Selatan dengan komitmen pelaburan sejumlah RM24 bilion pada 14 hingga 17 Mac 2023,” tambah MITI dalam jawapan bertulis bagi Dewan Negara yang disiarkan di laman sesawang Parlimen Malaysia pada Selasa.

Ia bagi menjawab soalan Senator Mohd Apandi Mohamad mengenai sasaran kemasukan pelabur asing bertaraf mega dan jumlah dana yang dijanjikan oleh pelabur asing tersebut.

Menurut MITI di saat dunia sedang berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi dan konflik geopolitik, Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan langsung asing yang berdaya saing.

Antara faktor penarik pelabur asing dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan serta hab rantaian bekalan pilihan dan utama di rantau ini adalah aspek pertumbuhan ekonomi; pembangunan infrastruktur dan kualiti pengangkutan, jelasnya.

MITI menambah faktor lain adalah galakan pelaburan; perkhidmatan telekomunikasi dan utiliti tempatan; kualiti dan bekalan tenaga kerja serta keselamatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan