EKONOMI

MERAQUE BERHASRAT JADI PEMBEKAL PERKHIDMATAN DRON ANTARA 10 TERBAIK DUNIA

12/01/2023 05:12 PM

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Pembekal perkhidmatan dron, Meraque Services Sdn Bhd (Meraque) merancang untuk menjadi pembekal perkhidmatan dron ke-10 terbaik di dunia dalam tempoh lima tahun akan datang, menurut Ketua Pegawai Strateginya Rahman Hussin.

Beliau berkata teknologi dron yang dibangunkan oleh Meraque telah berjaya memberi nilai tambah yang tinggi kepada pengguna di samping berhasil mengurangkan kos perniagaan.

Sehubungan itu, beliau yakin permintaan terhadap produk keluaran Meraque di pasaran tempatan dan antarabangsa akan terus meningkat pada masa hadapan.

“Setakat ini Meraque sudah bertapak di Indonesia, Filipina dan Kemboja. Kami dijangka menembusi (lebih banyak) pasaran antarabangsa dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang,” katanya dalam temubual dengan Bernama baru-baru ini.

Tahun lepas, Meraque dipilih sebagai syarikat pembekal perkhidmatan dron ke-19 terbaik dunia oleh Drone Industry Insight iaitu syarikat penyelidikan dan analitik pasaran dron terkemuka di dunia.

Menurut Rahman, antara teknologi Meraque adalah dron semburan tompok hibrid yang dibangunkan melalui Program Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC). 

Beliau berkata MTDC turut memberi sokongan penuh kepada Meraque melalui acara promosi melibatkan pelbagai industri serta menjalin rangkaian perniagaan dengan syarikat-syarikat dalam ekosistem MTDC.

Selain membantu menjana ekonomi negara, NTIS juga berperanan membantu melancarkan penggunaan teknologi baharu dalam pelbagai sektor terutamanya untuk memerangi pandemik COVID-19.

Dron semburan tompok hibrid iaitu teknologi pertama seumpamanya di Malaysia, diperkenalkan untuk membantu menangani masalah kekurangan tenaga buruh di negara ini terutamanya dalam sektor perladangan seperti sawit yang mengalami penguncupan drastik dari segi pengeluaran sewaktu pandemik.

Rahman berkata teknologi tersebut membolehkan peladang melakukan aktiviti penyemburan seperti baja dan racun perosak dengan mudah dan cekap.

Penyemburan yang dilakukan secara lebih spesifik dari segi penggunaan jumlah baja dan sebagainya, boleh membantu peladang untuk menikmati penjimatan hampir RM2 juta terhadap kos tenaga kerja dan kos bahan kimia yang terlibat, katanya.

Beliau berkata buat masa sini, teknologi penyemburan itu diguna pakai di nurseri.

Menurutnya Meraque juga giat membangunkan teknologi seumpamanya untuk kegunaan pokok di peringkat pertengahan bersaiz sederhana besar yang berumur antara 12 hingga 24 bulan.

“Seterusnya, kami akan cuba membangunkan teknologi yang membolehkan penyemburan dilakukan tanpa menggunakan tenaga kerja manual kepada pokok sawit yang matang,” katanya.

Rahman berkata teknologi dron semburan tompok hibrid itu sedang diguna pakai oleh hampir 80 peratus nurseri sawit di seluruh Malaysia.

Beliau turut menggesa syarikat teknologi tempatan untuk berganding bahu dengan MTDC dan merebut peluang terhadap bantuan yang disediakan untuk membangunkan teknologi.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan