EKONOMI

EVE Energy akan bangunkan pangkalan pengeluaran bateri silinder di Malaysia

01/12/2022 07:18 PM

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- EVE Energy Malaysia Sdn Bhd akan membangunkan pangkalan pengeluaran bateri silinder di Malaysia untuk menyokong perusahaan pembuatan kenderaan roda dua elektrik dan peralatan kuasa di negara ini dan Asia Tenggara.

Anak syarikat EVE Energy Co. Ltd. (EVE), syarikat pengeluaran bateri litium yang berpangkalan di China itu menjelaskan pencapaian penting dengan pelaburan yang dijangkakan berjumlah US$422.3 juta (US$1=RM4.404) tersebut akan meningkatkan daya saingnya secara menyeluruh dalam pasaran kenderaan roda dua elektrik dan peralatan kuasa di peringkat global.

Projek itu akan dibangunkan mengikut fasa dengan tempoh pembinaan tidak lebih daripada tiga tahun, menurutnya dalam kenyataan pada Khamis.

Pengarah Perwakilan EVE Energy Malaysia, Joe Chan berkata pengembangan itu adalah satu pencapaian penting bagi EVE untuk meningkatkan penguasaan pasaran globalnya dalam pasaran kenderaan roda dua elektrik dan peralatan dikuasakan oleh bateri.

Beliau berkata pewujudan pangkalan pengeluaran bateri silinder di Malaysia akan membantu membekalkan bateri berkualiti tinggi kepada syarikat di negara ini dan Asia Tenggara.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman berkata peralihan kepada kenderaan elektrik (EV) akan menjadi antara yang paling signifikan dalam sektor automotif di Malaysia.

“Ekosistem bateri litium silinder yang dibangunkan sepenuhnya adalah seiring dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dan Dasar Automotif Negara (NAP) 2020 dalam merangsangkan dan menyepadukan ekosistem kenderaan elektrik (EV) negara khususnya bagi pengeluaran bateri EV.

“Selain mempunyai bakat berkemahiran tinggi dan pakar teknologi, Malaysia sememangnya menjadi lokasi yang kondusif dan ideal untuk kejayaan pelaburan EVE,” katanya.

MIDA telah meluluskan 25 projek bernilai RM10.69 bilion dalam EV dan ekosistem berkaitannya dari 2020 hingga Jun 2022.

Arham berkata pelaburan yang diluluskan termasuk aktiviti pemasangan EV, pembuatan alat ganti dan komponen EV serta komponen pengecasan.

Pada masa ini, EVE sedang menilai beberapa tapak untuk menempatkan kemudahan pembuatannya di Malaysia, termasuk beberapa lokasi berpotensi di Perak.

CEO InvestPerak, Izran Abdullah berkata Perak memiliki potensi besar untuk menjadi destinasi pelaburan yang bertumpuan baharu memandangkan Perak mempunyai infrastruktur yang baik, kekayaan sumber asli, bakat berkemahiran tinggi yang mencukupi, ekosistem perindustrian yang matang serta kos melaksanakan perniagaan yang kompetitif.

“Terletak secara strategik di antara Pulau Pinang dengan Selangor, dua kuasa ekonomi di Malaysia, Perak memperoleh kelebihan daripada limpahan ekonomi dari kedua-dua negeri dan sentiasa bersedia untuk menyokong pengembangan industri dan rantaian bekalan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan RM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2023 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan