EKONOMI

AMMI: MALAYSIA ANTARA HAB PEMBUATAN PERANTI PERUBATAN LUAR PESISIR TERBAIK DUNIA

01/12/2022 05:09 PM

GEORGE TOWN, 1 Dis  (Bernama) -- Malaysia kini merupakan salah satu hab pembuatan peranti perubatan luar pesisir terbaik dunia, dengan lebih 290 syarikat pembuatan terlibat dalam industri peranti perubatan negara yang kini berkembang maju.

Pengerusi Persatuan Industri Perubatan Malaysia (AMMI) Andy Lee Kuan Min berkata sebanyak 10 daripada 30 syarikat teknologi perubatan (MedTech) global telah menubuhkan kemudahan pembuatan di Malaysia.

"Daripada pengeluar sarung tangan lateks dan kateter, industri tempatan hari ini diiktiraf sebagai pengeluar dan pembekal yang boleh dipercayai bagi rangkaian luas peranti perubatan bernilai tinggi yang diperbuat daripada elektronik, plastik, silikon, dan aloi logam.

"Beberapa peranti perubatan bernilai tinggi yang dikeluarkan di Malaysia ialah implan pendengaran, produk ortopedik, perentak jantung, injap jantung dan sistem perubatan lanjutan," katanya kepada pemberita pada Sidang Kemuncak Industri MedTech Malaysia 2022 hari ini.

Mengulas lanjut, Lee berkata kejayaan industri peranti perubatan Malaysia disebabkan sebahagian besarnya berpunca daripada kejayaan dalam sejarah pembuatan yang terbukti, bakat berbilang bahasa, kemudahan menjalankan perniagaan dan rantaian bekalan tempatan yang baik bersama sokongan daripada institusi dan rangka kerja dasar.

Terdahulu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dalam ucaptamanya berkata Pulau Pinang kekal sebagai lokasi yang sangat menarik kerana ia memiliki ketersediaan infrastruktur dan ekosistem yang sepadan dengan keperluan sektor teknologi perubatan.

Pulau Pinang sering dipuji sebagai hab yang mempunyai semangat dan bersedia untuk setanding dengan Puerto Rico, Ireland dan Costa Rica yang sering diiktiraf sebagai hab pembuatan peranti perubatan luar pesisir utama di dunia, katanya.

"Industri sokongan dan sampingan yang kukuh di Pulau Pinang telah menjana skala yang besar untuk industri teknologi perubatan.

"Kerajaan negeri akan memastikan pertumbuhan yang mampan dalam industri teknologi perubatan, terutamanya pada bakat dan ketersediaan infrastruktur," tambahnya.

Sidang Kemuncak Industri MedTech Malaysia 2022 yang diadakan hari ini dianjurkan oleh AMMI sempena ulang tahun ke-50 perindustrian Pulau Pinang, dengan sokongan daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Invest Penang dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan