BERITA PRU15   Gerakan minta ahlinya fokus PRN tahun depan - Dominic Lau | PH Pahang sokong untuk bersama BN bentuk kerajaan negeri | PRU15: Kemenangan di Padang Serai hadiah terbaik untuk PM - Calon PH | PRU15: Kemenangan di Padang Serai akan beri semangat baharu kepada BN - Sivaraj | Ahli Parlimen Bebas dari Kudat sokong kerajaan perpaduan | 
EKONOMI

RHB: Pendekatan sederhana kerajaan baharu kurangkan risiko kawal selia

24/11/2022 11:50 PM

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- RHB Research yakin bahawa kerajaan baharu mewakili segenap lapisan masyarakat, justeru pendekatan yang lebih sederhana akan mengurangkan risiko pengawalseliaan.

Firma penyelidikan itu dalam strategi pasaran bertajuk 15th General Election (GE15): A Brave New World berkata kerajaan mempunyai tumpuan utama termasuk menubuhkan barisan Kabinet yang hebat untuk meraih keyakinan dan kepercayaan daripada komuniti perniagaan serta memenangi hati pelabur asing dan tempatan, menyegerakan pembentangan semula Bajet 2023 dan keutamaan ekonomi kerajaan.

“Meskipun kita tidak boleh mengelakkan risiko untuk kerajaan mengekalkan kecenderungan meneruskan langkah populis, kepimpinan baharu ini perlu memahami bahawa beberapa keputusan yang sukar perlu dipertimbangkan demi kepentingan negara dalam jangka panjang.

“Kami juga percaya kepimpinan Pakatan Harapan (PH) telah menerima iktibar daripada pemerintahan mereka selama 22 bulan di Putrajaya pada 2018 dan akan mengelakkan daripada melakukan kesilapan serupa,” katanya.

RHB Research turut menekankan kepada keperluan untuk melaksanakan pembaharuan fiskal dan ekonomi, inisiatif rasionalisasi subsidi, dan pendekatan untuk menyatukan negara akibat perpecahan politik yang amat mendalam selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagi Bursa Malaysia pula, ia menjangkakan kenaikan akan berterusan dengan perubahan sentimen dalam kalangan pelabur.

Katanya ini berlaku disebabkan harapan yang tinggi bahawa langkah mengetatkan dasar monetari akan mula reda berikutan pasaran menumpukan kepada pendekatan yang lebih pragmatik oleh kerajaan China untuk membendung penularan COVID-19.

“Bagaimanapun, dalam masa terdekat ini, kami menasihatkan pelabur agar tidak terlalu teruja. Kerajaan perpaduan baharu perlu membuktikan keupayaan mereka untuk bekerjasama sebagai satu pasukan, situasi yang tidak dijangkakan pada minggu lepas.

“Kami berpendapat bahawa pembaharuan fiskal dan polisi akan menjadi cabaran getir. Kehadiran blok Borneo dalam pentadbiran baharu ini akan memberi impak positif terhadap program-program infrastruktur di Malaysia Timur,” katanya.

RHB Research berkata FBM KLCI sewajarnya mengakhiri bulan ini melebihi paras 1,500 untuk mendapat sokongan yang kukuh.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan