EKONOMI

UNIT NI HSIN LANCAR MOTOSIKAL EV, SASAR JUALAN 15,000 UNIT SETAHUN

22/11/2022 08:03 PM

KUALA LUMPUR,  22 Nov (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Ni Hsin Group Bhd (Ni Hsin), Ni Hsin EV Tech Sdn Bhd (NH EV Tech), melancarkan model motosikal kenderaan elektrik (EV) baharunya, motosikal TAILG EBIXON EV, yang diimport dan dipasang di kemudahan pembuatan syarikat itu di Seri Kembangan, Selangor.

Syarikat itu telah memperkenalkan dua model untuk kategori peribadi dan komersial, iaitu TAILG EBIXON BOLD dan TAILG EBIXON TORQ.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Arham Abdul Rahman berkata aktiviti pengeluaran atau pemasangan Ni Hsin mencerminkan daya saing syarikat tempatan itu dalam menampilkan dirinya sebagai salah satu peneraju inovatif kenderaan elektrik.

“Ini juga selaras dengan komitmen kerajaan untuk membangunkan ekosistem teknologi EV seperti yang digariskan dalam Dasar Automotif Negara 2020,” katanya.

Beliau berkata, di sebalik usaha keras untuk meletakkan Malaysia sebagai hab serantau bagi pengeluaran kenderaan elektrik, negara juga sedang menuju ke arah aspirasi mengurangkan pelepasan karbon daripada kenderaan.

"Seperti yang diketengahkan dalam Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2023, kerajaan menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik dan pilihan pengangkutan rendah karbon lain untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau di negara ini, dan menyasarkan untuk menjadi peserta penting dalam pasaran mobiliti elektrik serantau mulai 2030 dan seterusnya," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan NH EV Tech Khoo Chee Kong berkata syarikatnya menjangkakan peningkatan ketara dalam permintaan motosikal EV di Malaysia dan rantau ASEAN dalam tempoh terdekat.

“Sasaran kami adalah untuk menjual 15,000 unit motosikal TAILG EBIXON EV setahun dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Kami telah menandatangani memorandum perjanjian dengan beberapa organisasi yang dipercayai untuk membantu kami dalam pemasaran, promosi dan pengedaran motosikal TAILG EBIXON EV,” katanya.

Syarikat itu juga berkata usaha niaga dalam e-mobiliti adalah selaras dengan usahanya ke arah mencapai agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan