EKONOMI

HUBUNGAN DAGANGAN MALAYSIA-INDONESIA KUKUH, TERUS MENINGKAT - MATRADE

27/09/2022 03:37 PM

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Jalinan hubungan perdagangan Malaysia-Indonesia terus kukuh dengan jumlahnya mencecah RM95.10 bilion (US$22.93 bilion) pada 2021, peningkatan sebanyak 43.5 peratus berbanding 2020.

Pengarah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi ASEAN dan Oceania, Raja Badrulnizam Raja Kamalzaman berkata Indonesia juga merupakan rakan dagang global ketujuh terbesar bagi Malaysia dan ketiga terbesar di peringkat ASEAN.

“Jumlah dagangan turut mencatat peningkatan sebanyak 32.5 peratus kepada RM39.22 bilion (US$9.45 bilion) manakala jumlah import menokok sebanyak 52.3 peratus kepada RM55.88 bilion (US$13.47 bilion pada 2021) daripada 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama di Persidangan Analisis Strategi Perniagaan Indonesia 2022 di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE di sini, hari ini.

Acara tiga hari bermula hari ini sehingga 29 Sept itu menghimpunkan wakil industri seperti tenaga hijau,minyak sawit, minyak dan gas, makanan dan minuman, farmaseutikal, kosmetik, internet rangkaian pelbagai benda, perabot rumah, arang batu dan mineral, latihan dan pendidikan, tenaga kerja, jentera, pembangunan zon ekonomi perindustrian/khas, pelancongan serta bahan binaan.

Sementara itu, wakil penganjur yang juga Pengarah Urusan Axon Consultancy Sdn Bhd Low Jiun Jack berkata acara tersebut bertujuan mengetengahkan penyampaian perkhidmatan yang melangkaui ruang persidangan.

“Indonesia merupakan negara tumpuan pertama kami dari segi perancangan dan pelaksanaan strategi perniagaan secara pantas. Matlamat program ini adalah menyediakan satu platform untuk semua peserta membangunkan perniagaan masing-masing di luar sempadan.

“Indonesia misalnya menawarkan banyak aspek untuk perniagaan Malaysia seperti lampu jalan solar dan saya menjangkakan nilai eksport sebanyak RM30 juta dalam tempoh 2022 hingga 2023,” katanya kepada Bernama di luar program itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan