EKONOMI

TEKNOLOGI PERUBATAN LONGE MEDIKAL MANTAPKAN SISTEM PERUBATAN NEGARA

27/09/2022 11:40 AM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- Longe Medikal Sdn Bhd yang giat membangunkan teknologi perubatan di antaranya ‘pre-planning surgery’ kini diiktiraf setanding dengan teknologi dari negara-negara maju, sekali gus memantapkan lagi sistem perubatan di Malaysia.

Syarikat pemula tempatan itu yang beroperasi sejak 2016, membangunkan aplikasi ‘pre-planning surgery’ yang dilakukan kepada pesakit berdasarkan ‘image guided therapy’ atau lebih dikenali sebagai ‘minimally invasive surgery’.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya Muhammad Izzat Ahmad Sabri, teknologi ‘pre-planning surgery’  kini digunakan di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia, Institut Jantung Negara (IJN) dan Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Teknologi berkaitan ‘pre-planning surgery’ ini berupaya membantu pakar perubatan dalam menyesuaikan stimulator perubatan terutamanya dalam bidang neurovaskular (bahagian otak) dan kardiovaskular (bahagian jantung) serta bidang-bidang perubatan yang lain seperti ortopedik (bahagian tulang) dan kanser,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata syarikat itu juga menyediakan solusi berbentuk perisian yang berkonsepkan PACS (arkib gambar dan sistem komunikasi) untuk kegunaan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Sistem tersebut dapat menyimpan data-data bergred perubatan untuk kegunaan pihak KKM,” katanya menambah, Longe Medikal telah diberikan lesen sebagai pembekal sistem perkhidmatan awam di negara ini oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Berkongsi peranan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dalam membantu syarikat itu, Muhammad Izzat berkata MTDC membantu mendapatkan Dana Pengkomersialan Penyelidikan dan Pembangunan (CRDF) bagi tujuan pembangunan teknologi perubatan yang dibangunkan syarikatnya.

“Kami juga dibantu untuk mendapatkan peneraju baharu yang berkualiti tinggi melalui program-program yang dijalankan oleh agensi kerajaan dan MTDC. Ini termasuklah dengan persidangan dan program yang melibatkan delegasi antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata sokongan yang berikan oleh MTDC ini dapat menjadikan semua syarikat permulaan di negara ini mendapat akses ke hab yang disediakan dalam usaha membangunkan perniagaan berasaskan teknologi perubatan.

“Ini kerana teknologi perubatan adalah tidak mudah dan banyak kekangan yang dihadapi syarikat seperti bentuk pembangunan, undang-udang dan sebagainya.

“Selain itu, usaha yang dilakukan MTDC ini mampu menarik lebih banyak usahawan teknologi untuk sama-sama membangunkan teknologi berkaitan perubatan,” katanya.

Menerusi MTDC, beliau berkata Longe Medikal turut mendapat kelebihan menjadi salah satu syarikat di antara komuniti di ‘Center of 9 Pillars’ (Co9P) yang menggariskan sembilan tonggak iaitu ‘Autonomous Robot, Simulation, System Integration, Internet of Things (IoT), CyberSecurity, Cloud Computing, Additive Manufacturing, Big Data’ dan ‘Augmented Reality’.

Co9P adalah hab komuniti yang membangunkan Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) bagi meningkatkan pertumbuhan teknologi organisasi kecil dan sederhana selain menyediakan perkhidmatan ‘Maker Lab’ untuk industri, sokongan dana, jalinan rangkaian komuniti, latihan dan pensijilan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya bercadang untuk menyenaraikan perniagaan teknologi perubatan di Bursa Malaysia dalam usaha mengembangkan lagi perniagaan syarikat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan