BERITA COVID–19   Penyelidik Taiwan temui kaedah rawat pembekuan darah pesakit COVID-19 | Pemilik premis dibenar tentukan pemakaian pelitup muka | Kementerian Kesihatan pertimbang beli vaksin COVID-19 lawan varian Omicron - Khairy | Kes baharu COVID-19 turun 16.9 peratus minggu lepas - Dr Noor Hisham | Jepun akan mudahkan prosedur kuarantin COVID-19 di lapangan terbang | 
JENAYAH & MAHKAMAH

Jalankan aktiviti judi, 10 premis perniagaan dipotong elektrik

23/09/2022 05:45 PM

MELAKA, 23 Sept (Bernama) -- Sepuluh premis perniagaan di sekitar Melaka Tengah dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik kerana didapati menjalankan aktiviti perjudian dalam talian dan judi ekor.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata operasi pemotongan itu dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) bermula 10 pagi hingga 5 petang semalam.

Bagaimanapun, beliau berkata tiada sebarang tangkapan dilakukan memandangkan tiada penghuni di premis terbabit ketika operasi dijalankan.

“Premis ini dipercayai berselindung di sebalik aktiviti perniagaan lain seperti kedai telefon bimbit dan restoran sementara di bahagian belakang pula berlaku jualan tambah nilai judi dalam talian.

“Selain memasang kamera litar tertutup bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa, ada antara premis ini menyediakan lubang kecil pada pintu belakang bagi memudahkan operasi haram mereka itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Christopher berkata kesemua premis diserbu itu disewakan manakala pemilik premis tidak tahu tentang aktiviti penyewa premisnya. 

“Tindakan pemotongan bekalan elektrik itu diambil mengikut Seksyen 44 (a) Akta Rumah PerJudian Terbuka 1953 dan Seksyen 4(1)(c) Akta Perjudian Terbuka 1953. Ia bertujuan mengelakkan premis berkenaan aktif semula dan terus menjalankan aktiviti perjudian,” katanya. 

Sementara itu, beliau berkata dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini, sebanyak 61 premis perniagaan telah diambil tindakan pemotongan bekalan elektrik kerana terbabit dengan perjudian dan 440 serbuan telah dijalankan berhubung kegiatan berkenaan.

Beliau meminta orang ramai melaporkan kepada pihak berkuasa jika curiga terhadap mana-mana premis yang disyaki terlibat dengan kegiatan berkenaan.

“Polis memberi amaran keras kepada setiap pemilik premis perniagaan supaya tidak menyalahgunakan lesen perniagaan sedia ada bagi tujuan menjalankan kegiatan haram berkenaan,” katanya. 

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan