EKONOMI

KEDAH SASAR LEBIH BANYAK PELABURAN SELEPAS RAIH RM20 BILION PADA SUKU KEDUA 2022

22/09/2022 06:29 PM

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Kedah bersedia untuk menarik lebih banyak pelaburan selepas mencapai pelaburan diluluskan sebanyak RM20 bilion pada suku kedua 2022, menurut Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan negeri Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail.

Kedah baru-baru ini mengumumkan Gurun sebagai destinasi pelaburan bagi kawasan perindustrian baharu yang berkeluasan 404.686 hektar.

Beliau berkata sejak bertahun-tahun, Kedah telah terbukti sebagai pilihan utama untuk pelaburan dan ia berminat untuk mempermudah dan menarik lebih banyak pelaburan tempatan dan luar negara berdasarkan Pelan Pembangunan Kedah 2035.

“Di Kedah, semua agensi berkaitan pelaburan bekerja dalam satu pasukan dengan matlamat dan objektif yang sama iaitu memudahkan dan menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini,” katanya pada sidang akhbar sempena MIDA Invest Series: Unfolding States Business Potential (Kedah).

Ku Abd Rahman berkata Kedah telah menikmati transformasi ekonomi yang mengagumkan, daripada pertanian kepada pembuatan.

Dalam sektor pembuatan, Kedah bertuah apabila mempunyai Kulim Hi-Tech Park (KHTP) sebagai pemangkin yang telah dikenali sebagai taman perindustrian yang mantap di dunia.

Beliau berkata kerajaan negeri sedang giat mempromosikan destinasi pelaburan seperti pusat halal dan logistik Bukit Kayu Hitam, kawasan perindustrian Bukit Selambau, kawasan perindustrian Gurun, pusat perindustrian Kulim, Northern Technocity dan kawasan perindustrian Padang Meha.

Di bahagian selatan dan tengah Kedah, terdapat kawasan pertumbuhan baharu seperti pengembangan KHTP, pembangunan Pulau Bunting dan Kedah Aerotropolis yang terdiri daripada Hab Logistik, Pengeluaran dan Aeroangkasa Sidam, Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim dan Lebuhraya Koridor Utara.

Beliau berkata kerajaan negeri turut komited untuk membangunkan kawasan pertumbuhan baharu di utara Kedah seperti Kedah Rubber City, Zon Ekonomi Sempadan Khas Delapan (Delapan SBEZ) di Bukit Kayu Hitam yang dilaksanakan oleh Northern Gateway Sdn Bhd, Taman Sains dan Teknologi Kedah dan hab halal  Bukit Kayu Hitam.

Katanya Kedah turut bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk menyediakan maklumat terkini pembangunan dan peluang pelaburan kepada komuniti perniagaan serta menawarkan platform untuk menjalinkan rangkaian dengan agensi kerajaan negeri yang berkaitan.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Arham Abdul Rahman berkata kerjasama itu bertujuan menonjolkan landskap pelaburan negeri tersebut dan potensinya.

“Memandangkan pemain global bergerak ke arah modul perniagaan yang patuh dan mampan, MIDA menyelaraskan strateginya dengan aspirasi pelaburan nasional dan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk menarik projek pelaburan bernilai tinggi dan mampan serta bekerjasama dengan rakan kongsi yang menumpukan kepada ‘pelaburan berimpak,’” katanya.

Acara itu menarik penyertaan 300 peserta yang terdiri daripada tokoh industri, wakil persatuan perniagaan, usahawan, ahli akademik dan pegawai kerajaan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan