EKONOMI

KEDAH CATAT JUMLAH PELABURAN RM9.7 BILION DARI JANUARI HINGGA JUN 2022 - MIDA

22/09/2022 02:52 PM

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Kedah menerima 71 projek yang diluluskan dengan pelaburan berjumlah RM9.7 bilion dari Januari hingga Jun 2022, dengan RM8.9 bilion daripada sumber asing, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Arham Abdul Rahman berkata projek-projek ini akan berperanan penting untuk mencipta lebih 3,209 peluang pekerjaan.

“Meskipun dalam persekitaran ekonomi global yang mencabar, Kedah merupakan satu daripada lima negeri utama untuk pelaburan oleh komuniti perniagaan,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada program MIDA Invest Series: Unfolding States Business Potential (Kedah).

Arham berkata Unit Pencepatan dan Penyelarasan Projek atau PACU@MIDA yang memudahkan pelaksanaan projek pelaburan di negeri ini dengan pantas, turut membantu Kedah menerusi sejumlah 277 projek pembuatan yang diluluskan sejak 2017 hingga Julai 2022.

“Sebanyak 188 projek (68 peratus) telah dilaksanakan, 68 projek (24 peratus) di peringkat perancangan aktif seperti perolehan tapak dan perbincangan/rundingan dengan pihak berkepentingan yang relevan dan 21 projek (lapan peratus) pula belum dilaksanakan,” katanya sambil menyatakan, setakat ini MIDA telah mempermudah dari segi pelaksanaan 1,600 projek.

Menurutnya wilayah Utara Malaysia telah memacu pertumbuhan industri pembuatan sejak bertahun-tahun sebagai destinasi pilihan dalam aktiviti pembuatan semikonduktor luar pesisir serta hab serantau elektrik dan elektronik yang berkembang maju.

“Daripada Kedah Aerotropolis, sehinggalah ke pelbagai taman perindustrian, Kedah mempunyai potensi untuk tampil sebagai hab perindustrian global.

“Langkah untuk memperkenalkan Permit Pembinaan Ekspres yang dikenali sebagai E10 jelas memperlihatkan aspirasi Kedah untuk menjadi destinasi paling sesuai untuk pengembangan perniagaan global,” katanya.

Beliau berkata Kedah telah menunjukkan kemajuan yang mengagumkan baru-baru ini, sekali gus membuktikan ia bukan sekadar sebagai negeri jelapang padi Malaysia.

Insiatif E10 mempercepat proses yang membolehkan pelabur untuk beroperasi dalam tempoh 10 bulan berbanding waktu purata 24 bulan.

“Malah, E10 mula dilaksanakan di Kedah khususnya oleh Majlis Perbandaran Kulim dan telah diperakui Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) sebagai contoh amalan terbaik yang boleh dicontohi negeri lain dan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Sementara itu, Arham berkata terdapat syarikat terkemuka yang memanfaatkan infrastruktur dan rangkaian perkhidmatan sokongan di Kedah yang kukuh dan berpengalaman.

Antara syarikat yang telah mempunyai operasi di Kedah adalah Intel, Risen Solar Technology, Infineon, First Solar dan Fuji Electric.

“Syarikat-syarikat ini menjanjikan banyak kerjasama dan peluang selanjutnya kepada perniagaan tempatan kita,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan