EKONOMI

KEDAH BENTANG TAWARAN KEPADA PELABUR PADA PROGRAM 'MIDA INVEST SERIES'

21/09/2022 02:13 PM

Oleh Nurrul Huda Ahmad Lutfi

ALOR SETAR, 21 Sept (Bernama) -- Program anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bersama kerajaan Kedah iaitu ‘MIDA Invest Series: Unfolding State’s Business Potential’ akan menjadi platform efektif untuk mempromosikan negeri ini sebagai lokasi mesra pelaburan.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Kedah Bhd, Muhamad Mahazi Ibrahim berkata beliau akan membuat pembentangan mengenai kemudahan yang disediakan kerajaan negeri termasuk kawasan strategik untuk pelabur dalam program yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada 22 Sept, 2022.

“Kita ada perindustrian, pelancongan, pertanian...kita ada 20 lebih tapak industri contoh di Kulim, Sungai Petani, Bukit Selambau, Gurun, Bukit Kayu Hitam dan KRC (Kedah Rubber City).

“Esok saya cerita perkara ini kepada audiens yang terdiri daripada (pihak) kedutaan, dewan perniagaan, pemain industri. Mereka akan tahu apa yang Kedah akan tawarkan dan kita telah bersedia,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, pada Rabu.

Mengenai pelaburan dalam sektor pelancongan, beliau berkata Kedah lebih fokus kepada pelancongan kesihatan dengan pelabur berpeluang melabur di negeri ini untuk membangunkan hospital swasta di Langkawi di samping melabur di Kulim yang menempatkan Taman Perindustrian Teknologi Tinggi.

Muhamad Mahazi berkata Kedah berusaha menjadi negeri mesra pelabur dengan cara memudahkan urusan pentadbiran contoh melibatkan tanah selain di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) pula wujud inisiatif Permit Pembinaan Ekspres atau E10 yang mempercepat proses membenarkan pelabur beroperasi dalam tempoh 10 bulan sahaja.

“Datanglah ke negeri Kedah, kita ada semuanya untuk ditawarkan kepada pelabur. Negeri yang mesra, kondusif, kos kehidupan murah, Kedah sendiri kawasan hijau, kita mahu mereka (pelabur) datang dan lihat kita punya kelebihan sawah padi,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan Kedah, Datuk Wira Ku Abd Rahman Ku Ismail berkata Kedah akan digambarkan sebagai negeri mesra pelaburan dalam program itu esok.

Ini berdasarkan rekod prestasi Kedah apabila mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM9.7 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini dalam sektor pembuatan, katanya.

“Kita akan menawarkan perkhidmatan terbaik kepada pelabur...bagi enam bulan pertama 2022, separuh tahun ini kita nombor satu dalam pelaburan ke dalam pembuatan. Sebenarnya yang banyak mewujudkan peluang pekerjaan adalah sektor pembuatan...kita amat yakin berada di landasan” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan