AM

GENERASI BAHARU TERIMA BIASISWA PENUH DI LCAA MAHU HARUMKAN NAMA FELDA

20/09/2022 11:39 AM

SHAH ALAM, 20 Sept (Bernama) -- Tiga penuntut generasi baharu Felda berazam mengharumkan nama agensi itu dalam industri animasi dan perniagaan selepas berjaya menjadi antara 30 penerima tajaan biasiswa penuh pengajian peringkat Diploma di Les' Copaque Animation Academy (LCAA).

Kerjasama julung kali antara Felda melalui Yayasan Felda dan LCAA itu melibatkan tajaan bernilai RM500,000 bagi kesemua pelajar tersebut melanjutkan pengajian di peringkat diploma dalam bidang Teknologi Animedia 3D dan Perniagaan Kreatif di akademi berkenaan.

Bagi Nur Wardina Tajudin, 18, yang mengambil jurusan Diploma Teknologi Animedia 3D, menyifatkan latar belakangnya sebagai cucu peneroka Felda Teloi Kanan, Sik, Kedah adalah satu keistimewaan.

“Saya rasa (tajaan biasiswa) ini keistimewaan kepada kami sebagai generasi Felda dan akan belajar bersungguh-sungguh untuk mahir dalam animasi di LCAA yang namanya gah dalam dunia animasi menerusi siri Upin dan Ipin.

“Saya amat berminat dalam bidang animasi kerana era zaman sekarang ramai orang berlumba-lumba ingin mengejar tentang dunia teknologi animasi,” katanya kepada Bernama pada majlis penyampaian tajaan biasiswa penuh pengajian peringkat Diploma di sini, semalam.

Majlis penyampaian tajaan disempurnakan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Felda Muhammad Fadzli Hasan dan Pengerusi LCAA Burhanuddin Md Radzi, dengan disaksikan Pengurus Besar Yayasan Felda Datuk Mohd Banuri Aris.

Bagi Mohamad Izwan Ramli, 34, generasi kedua dari Felda Lui Selatan 1, Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan yang mengambil jurusan Diploma Perniagaan Kreatif berkata menerima tajaan biasiswa penuh adalah suatu yang tidak akan disia-siakan.

“Saya merupakan penyelia asrama di Kolej Yayasan Felda di Negeri Sembilan. Apabila mendapat tahu pasal peluang ini saya terus cuba dan tidak sangka dipilih.

“Perasan itu semestinya gembira dan saya akan buat yang terbaik untuk mengharumkan nama Felda. Saya juga akan belajar dengan LCAA tentang selok-belok berkaitan perniagaan,” katanya.

Nurul Syazwani Ishak, 21, dari Felda Jengka 25, Pahang yang sebelum ini merupakan pelatih di Pusat Hemodialisis Felda, Keramat, Kuala Lumpur, pula bersyukur kerana diterima menyambung pengajian Diploma Perniagaan Kreatif di LCAA.

“Saya amat gembira kerana pada usia yang masih muda dapat mengikuti pengajian di LCAA,” katanya sambil bertekad menjadi antara pelajar terbaik dalam jurusan tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan