BERITA TERGEMPAR   Helicopter crash tragedy affects families of Malaysian Armed Forces, a big loss to the nation - PM Anwar | RMN helicopter crash: PM Anwar expresses condolences, prays the victims' families be given strength in time of tragedy | Tragedi helikopter terhempas beri kesan kepada keluarga Angkatan Tentera Malaysia, kehilangan besar buat negara - PM Anwar | Agong saddened by RMN helicopter crash in Lumut, sends his condolences to victims' families | Tragedi helikopter terhempas beri kesan kepada keluarga Angkatan Tentera Malaysia, kehilangan besar buat negara - PM Anwar | 
EKONOMI

NEUROGINE GROUP JANGKA LEBIH BANYAK APLIKASI AI DALAM INDUSTRI KEWANGAN

08/09/2022 03:18 PM

Oleh Jailani Hasan

LABUAN, 8 Sept (Bernama) -- Neurogine Group menjangka industri kewangan bakal menyaksikan lebih banyak penerapan kecerdasan buatan (AI) serta pembelajaran mesin, lebih-lebih lagi dengan evolusi perkhidmatan kewangan yang kini mula berkembang dengan teknologi.

Ketua Pegawai Eksekutif Neurogine Group, Owen Chen berkata Neurogine telah pun berpindah dari era penerokaan memasuki peringkat penggunaan serta pelaksanaan, dengan algoritma kompleks telah dikodkan bagi membantu memahami set data dan corak setempat yang lebih besar. 

"Kami perlu membuat automasi untuk menampung jumlah transaksi kewangan, yang masih meningkat secara eksponen." 

Peningkatan transaksi seperti ini juga memberi peluang kepada jenayah kewangan untuk berkembang," katanya pada hari kedua Persidangan Antarabangsa Persatuan Kewangan Malaysia ke-24 2022 di Dorsett Grand Hotel di sini hari ini. 

Katanya, Neurogine Group komited dalam mengambil langkah bagi membangun serta menggunakan AI untuk mengenal pasti corak yang ditandai sebagai aktiviti yang mencurigakan. 

"Ini termasuk corak transaksi yang mungkin dikaitkan dengan pemerdagangan manusia, pengedaran narkotik haram, pembayaran pengganas dan lain-lain.

"Kami menyeru pengawal selia seperti Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) untuk menggalakkan institusi berlesen serta yang dikawal selia agar mula mempertimbangkan penggunaan AI dan pembelajaran mesin bagi menangani jenayah kewangan," katanya. 

Gesaan ini adalah tepat pada masanya kerana penggunaan AI dalam usaha mencegah jenayah kewangan sudah pun tersedia.

"Ia secara khusus meningkatkan keberkesanan serta kecekapan proses seperti suai tugas, usaha wajar, penyiasatan dan pengurusan risiko.

"Ia juga berpotensi mengurangkan kos operasi secara mendadak termasuk positif palsu dalam sistem Pemantauan Transaksi (TM) dan mengalihkan sumber ke kawasan lain," katanya. 

Chen berkata sistem yang diselitkan dengan AI mesti mampu melakukan analisis pautan, menandakan serta mencadangkan tindakan selepas mengenal pasti aktiviti yang mencurigakan, mengumpul dan memadankan data daripada laman web, rangkaian sosial dan lain-lain. 

"Sistem ini boleh diajar untuk mengenal pasti topologi operasi termasuk tingkah laku baharu yang diketahui memiliki elemen jenayah dan pengganas yang sentiasa berinovasi bagi kekal tersembunyi termasuk menggunakan kaedah pengabaian untuk menjadikan aktiviti mereka sukar dikesan. 

"Kami memerlukan sokongan serta keyakinan pengawal selia seperti Labuan FSA untuk bereksperimen dan berinovasi secara bertanggungjawab...agar kekal relevan di peringkat global serta berdaya saing, industri perlu berkembang termasuk menerima penggunaan AI dan pembelajaran mesin," kata Chen.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan