EKONOMI

MATRADE PELAWA PERNIAGAAN MANFAATKAN KEHADIRAN 400 PEMBELI PRODUK HALAL DI INSP MIHAS

11/08/2022 09:02 PM

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) mempelawa perniagaan untuk memanfaatkan kehadiran lebih 400 pembeli produk halal antarabangsa dari lebih 50 negara pada Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) September ini, bagi mengembangkan perniagaan mereka.

Kehadiran pembeli dari Timur Tengah, Eropah, Asia Tengah dan Selatan, Oceania, ASEAN dan Afrika itu adalah bersempena penganjuran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2022 ke-18 selama empat hari bermula 7 September, 2022.

Sebanyak 2,760 mesyuarat perniagaan dijangka diadakan ketika acara fizikal INSP MIHAS pada 6 September manakala mesyuarat perniagaan-kepada-perniagaan (B2B) pula menerusi platform maya.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata INSP MIHAS pada tahun lepas berjaya menghubungkan 385 syarikat Malaysia dengan 333 pembeli antarabangsa dan menjana janji niaga bernilai RM749.1 juta untuk pengeksport Malaysia.

Berikutan itu, MATRADE menyasarkan program kali ini akan mengulangi kejayaan sama.

“Kami amat menggalakkan perniagaan Malaysia untuk memaksimumkan peluang berharga ini bagi mengembangkan lagi perniagaan mereka ke pasaran baharu dengan menemui pembeli baharu selain meninjau peluang kerjasama rentas segmen,” katanya.

Mohd Mustafa berkata syarikat-syarikat Malaysia juga boleh menyasarkan untuk berhubung dengan kalangan pembeli premium yang mewakili konglomerat dan pasar raya besar di Qatar, Arab Saudi, Amerika Syarikat, India dan Türkiye.

INSP MIHAS melibatkan mesyuarat perniagaan sama ada secara fizikal dan maya, memberi kemudahan janji niaga perdagangan antara pembeli antarabangsa dan pembekal perkhidmatan dan produk halal Malaysia.

Pembeli antarabangsa itu juga berhasrat untuk berhubung dengan syarikat Malaysia yang mewakili 13 kluster seperti makanan dan minuman, perkhidmatan dan pengupaya, kosmetik dan penjagaan diri, fesyen sederhana, teknologi makanan, farmaseutikal, media dan rekreasi, e-dagang, kewangan Islam, pengembaraan mesra Muslim, francais, pendidikan dan seni dan kraf Islam.

Perniagaan Malaysia yang menawarkan produk dan perkhidmatan halal boleh mendaftar dengan sekretariat INSP MIHAS.

Pendaftaran bagi INSP MIHAS secara fizikal dibuka sehingga 18 Ogos manakala acara maya sehingga 31 Ogos ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan